KUALA LUMPUR 29 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun kepada orang ramai yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas.
Pengarah Jabatan Perancang Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tawaran itu akan bermula pada 1 September hingga 30 September ini.
Katanya, tawaran kompaun khas RM20 diberikan bagi kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna motosikal, RM30 bagi kereta dan RM50 bagi kenderaan berat seperti lori, bas, kren, traktor dan treler.
“Inisiatif ini adalah peluang bagi pesalah trafik menyelesaikan kompaun yang diterima sebelum 1 September 2018 bagi mengelakkan kes mereka disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.
Menurutnya, bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat Pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian di www.myeg.com atau e-bayar. – UTUSAN ONLINE











