KUALA TERENGGANU 14 Ogos – Mengaitkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin menjadi dalang untuk menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri merupakan suatu dakwaan yang melulu dan melampau.
![]() |
|
RAZALI
|
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan dakwaan terbuka oleh calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr. Idris Ahmad memberi kesan yang membimbangkan kerana boleh meretakkan perikatan yang dipupuk dalam komponen Pakatan Harapan.
Sehubungan itu, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu meminta pucuk kepimpinan PKR, khususnya Datuk Seri Anwar membendung gejala sebegini ketika kalangan pemimpnya PKR menjadikan modal mengutip pengaruh dalam pemilihan parti itu.
Sambil berasa kesal terhadap perkembangan itu, Razali meminta kedua-duanya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di samping diminta memberikan bukti yang jelas dengan membuat laporan terperinci kepada pucuk pimpinan parti mengenai setiap dakwaan mereka.
“Saya anggap dakwaan seperti itu sangat melampau, jelas mahu melaga-lagakan. Mereka tidak sewajarnya turut mengaitkan nama Dr. Mahathir dalam pemilihan kepemimpinan parti PKR, hanya semata-mata ingin memenangkan diri dan calon mewakili kumpulan mereka.
“Perkara seperti itu perlu dibendung segera kerana ia lebih berupa hasutan kepada ahli parti tersebut bagi menyokong calon yang mewakili kumpulan masing-masing,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan dakwaan Dr. Idris yang mendakwa Dr. Mahathir dan Daim selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan cuba memperalatkan pemimpin tertentu dalam PKR sebagai boneka.
Malah, Dr. Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok dan disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, juga secara terbuka mengakui tidak kisah seandainya ucapan beliau itu ditularkan.
Abdullah Sani pula mendakwa Daim menjadi dalang dalam usaha menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir sambil menegaskan mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan tersebut. – UTUSAN ONLINE












