Cuba buka pintu pesawat, pengurus restoran warga New Zealand didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Cuba buka pintu pesawat, pengurus restoran warga New Zealand didenda RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Seorang pengurus restoran warganegara New Zealand didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana cuba membuka pintu pesawat Malaysia Airlines (MAS) di udara, ketika penerbangan dari New Zealand ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu ke atas Cranwell Frazer Harry, 32, yang dari Auckland, New Zealand, selepas tertuduh yang memakai baju penjara berwarna jingga mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang masih bujang, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan memberi amaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya yang merupakan satu kesalahan serius kerana boleh membahayakan nyawa penumpang dan anak kapal.

Cranwell yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan resah, kerapkali mengeluh dan sambil menitiskan air matanya mengangguk dan menjawab “I promise sir,”. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membahayakan keselamatan suatu kapal udara dan orang yang berada di dalam kapal udara di mana tertuduh telah cuba membuka pintu kecemasan kapal udara tersebut di dalam penerbangan MAS MH0130 dari Auckland, New Zealand ke KLIA pada pukul 11 malam, 12 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 97 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN