LONDON 25 Ogos – Juara bertahan Manchester City terpaksa bergelut untuk bangkit mengikat kedudukan 1-1 dengan pendatang baharu Wolverhampton Wanderers yang memberikan ujian sebenar kepada skuad bimbingan Pep Guardiola dalam kempen Liga Perdana Inggeris di Molineux, hari ini.
Pemenang Kejuaraan tersebut membuktikan kehebatan mereka setelah pertahanan Willy Boly meletakkan Wolves di depan menerusi jaringan kontroversi pada minit ke-57.
Ulang tayang menunjukkan Boly cuba menanduk masuk, namun bola tersebut terkena tangan kanannya sebelum ia menerjah masuk ke dalam gawang City.
Skuad Citizens kemudian menyamakan kedudukan 12 minit kemudian menerusi tandukan Aymeric Laporte, yang juga jaringan pertamanya bersama kelab itu setelah memanfaatkan sepakan bebas Ilkay Gundogan.
City, yang kini mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, nyaris meledak gol di babak pertama menerusi Sergio Aguero dan Raheem Sterling namun sepakan mereka sekadar menyinggah tiang gawang, beberapa minit setelah pembatalan jaringan pemain Wolves Raul Jimenez disebabkan ofsaid.- REUTERS











