BEIJING 14 Ogos – China mencetak mata wang asing secara besar-besaran termasuk mata wang Malaysia ketika banyak negara di dunia menyerahkan percetakan wang kepada pihak luar dalam usaha untuk mengurangkan kos.
South China Morning Post yang memetik sumber firma milik kerajaan, China Banknote Printing and Minting Corporation sebagai berkata, kilang percetakan mata wang di negara ini kini beroperasi pada kapasiti hampir penuh.
Selepas melancarkan inisiatif ‘Belt and Road’ pada penghujung 2013, China telah memenangi kontrak bagi projek percetakan mata wang dari negara seperti Thailand, Bangladesh, Sri Lanka, Malaysia, India, Brazil dan Poland.
China didakwa mampu menyediakan ciri-ciri keselamatan seperti jalur khas, reben logam dan dakwat berubah warna pada kos yang agak rendah berbanding pesaing mereka dari Barat.
Pada masa sama, mata wang tempatan, yuan hanya mewakili sebahagian kecil daripada tempahan ketika rakyat China mula cenderung membuat pembayaran secara dalam talian mengakibatkan kurang permintaan kepada wang tunai.
Presiden China Banknote Printing and Minting Corporation, Liu Guisheng berkata, China tidak mencetak mata wang asing melainkan sejak kebelakangan ini.
Beliau dalam jurnal China Finance berkata, dua tahun selepas China melancarkan program inisiatif ‘Belt and Road’, negara komunis itu mencetak wang kertas 100 rupee Nepal.
Inisiatif yang dilancarkan Presiden China Xi Jinping itu merupakan pelan pembangunan global melibatkan kira-kira 60 buah negara dari Asia, Eropah hingga Afrika untuk merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi projek pelaburan dan infrastruktur modal.
China juga mencetak sebanyak 200 juta wang kertas 1,000 rupee pada tahun lalu.
Laporan Xinhua yang memetik Pengarah Eksekutif Bank Pusat Nepal, Bhuban Kadel sebagai berkata, beliau benar-benar kagum dengan kualiti wang kertas, terutama kosnya jauh lebih rendah berbanding pencetak lain.
“Kualitinya sama seperti yang dicetak sebelum ini di negara lain tetapi kosnya kurang separuh daripada jumlah yang kami perlu bayar,’ kata Kadel kepada Xinhua sambil menyatakan tindakan mencetak wang kertas 200 juta di China menjimatkan Bank Pusat Nepal sebanyak AS$3.76 juta (RM15.3 juta).
Pada masa ini, China merupakan satu-satunya negara yang mampu melakukan Intaglio, atau percetakan timbul (raised printing) secara serentak pada kedua belah halaman wang kertas.
Sementara itu, kerajaan India menafikan laporan bahawa sebuah perbadanan milik China akan mencetak mata wang negara terbabit dan menyifatkannya sebagai tidak berasas ketika terdapat kemarahan dalam kalangan rakyatnya.
“Wang kertas India sedang dan akan hanya dicetak kerajaan India dan kilangnya Reserve Bank of India (RBI),” kata seorang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Ekonomi kepada agensi berita ANI.











