Cabaran baharu di lorong boling - Utusan Malaysia

Cabaran baharu di lorong boling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALEMBANG 20 Ogos – Pengenalan sistem kiraan mata baharu dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 akan memberikan lebih cabaran kepada pemain boling di Pusat Boling Jakabaring, menurut Shalin Zulkifli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Shalin, antara pemain boling paling cemerlang dalam Sukan Asia, berkata sistem kiraan mata frame, digunakan buat julung kali dalam acara utama beraneka sukan atau multi-sport, akan menjadikan persaingan tidak dapat diramalkan. Acara boling bermula Rabu ini.

Pemain berusia 40 tahun itu yang memenangi lapan pingat daripada enam penampilan terakhirnya dalam Sukan Asia, berkata format baharu itu akan membolehkan pemain meraih mata tinggi ekoran setiap pemain boleh mendapat 30 mata setiap kali melakukan strike.

Choi Jin-a dari Korea Selatan yang memegang rekod 10 pingat Sukan Asia, dan Choi Bok-eum (sembilan pingat) ialah pemain yang memenangi lebih banyak pingat daripada Shalin dalam acara boling.

“Format ini telah digunakan dalam Jelajah Persekutuan Boling Asia (ABF) sejak tiga tahun lepas, tetapi ini pertama kali digunakan dalam temasya utama. Semua daripada kami tidak boleh ramalkan apa yang bakal berlaku.

“Mungkin memberi kelebihan kepada pemain. Pendekatannya juga berbeza. Kami akan cuba sesuaikan diri,” katanya semasa ditemui sewaktu sesi pemeriksaan peralatan di venue itu di sini.

Mengikut format pertandingan, setiap permainan terdiri daripada 10 frame. Jika seorang pemain melakukan strike, dia akan mendapat 30 mata. Jika pemain melakukan spare dalam frame, dia akan mendapat 10 mata ditambah dengan jumlah jatuhan pin bagi balingan pertama.

Shalin, yang memenangi empat pingat emas dalam Sukan Asia setakat ini, berkata dia menjangkakan cabaran sengit daripada tuan rumah Indonesia, Taiwan, Singapura dan Thailand, dengan tumpuan kepada pasukan wanita Malaysia yang muncul juara dunia di Las Vegas pada Disember lepas.

“Setiap hari, kami perlu melakukan penyesuaian dan perubahan, kerana ini akan berbeza.

“Banyak perkara boleh menjejaskan permainan boling, seperti corak minyak, haba, di mana letaknya lorong, misalnya berhadapan pintu masuk, betapa sejuk penyaman udara, siapa yang bermain sebelum anda, dan sebagainya,” katanya.

Selain Shalin, pasukan wanita Malaysian turut dibarisi pemain berpengalaman Esther Cheah, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan. – BERNAMA

Shalin Zulkifli memenangi 
lapan pingat daripada 
enam penampilan terakhirnya dalam 
Sukan Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN