KUALA LUMPUR 30 Ogos – Masalah ketidakfahaman sejarah menjadi satu daripada punca kewujudan kumpulan tertentu yang menggunakan ‘tiket’ hak asasi manusia untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan.
![]() |
|
KHOO KAY KIM
|
Sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, hal itu berlaku disebabkan sikap segelintir pihak yang memperkecilkan kepentingan subjek sejarah sehingga menyebabkan ada pihak tertentu terutama golongan muda mempertikaikan beberapa perkara yang dianggap sensitif.
“Kebanyakan daripada generasi baharu tidak mampu memberi makna Rukun Negara dengan tepat kerana mereka tidak menghayatinya sekali gus membuatkan mereka mempertikaikan beberapa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sistem pendidikan ketika ini perlu diperhalusi terutama bagi subjek Sejarah. Sekiranya orang ramai memahami Sejarah, masalah seperti ini tidak akan timbul,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Persada Ke-48 bertajuk Pembinaan Tamadun: Sayangi Malaysiaku Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali; Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan dan penganalisis ekonomi bebas, Profesor Madya Dr. Madeline Berma. – UTUSAN ONLINE












