PASIR MAS – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan keterangan melibatkan kejadian pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Anisah Ali yang maut dirempuh hingga maut kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Harkam Mustafa, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Yusof Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh disedari menyembunyikan keterangan mengenai kejadian pegawai JKDM, Anisah Ali, 54, yang disyaki sengaja dilanggar sehingga menyebabkan kematian dengan niat melindungi ‘Pok Ngoh Roni’ daripada hukuman.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.25 pagi di Kampung Banggol Chicha, 7 Oktober 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainun Zafirah Abd. Halim dan mahkamah menetapkan 5 September untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.
Kosmo! pada 10 Oktober 2016 melaporkan seorang pegawai kanan JKDM yang cedera parah selepas dilanggar Toyota Hilux dinaiki tonto pada 7 Oktober 2016 meninggal dunia selepas sehari bertarung nyawa di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II. – K! ONLINE










