Bukan ahli silap mata - Syafinaz Selamat - Utusan Malaysia

Bukan ahli silap mata – Syafinaz Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI pengalaman luas dalam bidang nyanyian, Datuk Syafinaz Selamat memberitahu, dia seorang yang suka berkongsi ilmu malah ketika ini dia juga menjadi tenaga pengajar di beberapa institusi pengajian.

Turut dipilih menggalas tanggungjawab sebagai mentor dalam program realiti, Mentor musim ketujuh, guru vokal ini mengakui, dia sedar ada pihak yang meletakkan harapan tinggi untuknya melahirkan bakat-bakat baharu yang secara dasarnya menepati keperluan bergelar penghibur.

Cukup realistik menjelaskan keadaan tersebut, Syafinaz memberitahu, kepakarannya bukan jalan pintas untuk melahirkan seorang penyanyi yang baik sebaliknya kerja keras seseorang dalam merealisasikan impian mereka menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bukan seorang ahli silap mata yang mampu melahirkan seorang penyanyi yang baik. Saya hanya boleh membantu. Pokok pangkalnya adalah diri seseorang itu untuk menerima perubahan. Tidak ada gunanya kalau seseorang itu berguru jika dia sendiri tidak mahu menerima ilmu yang diberikan,” katanya.

Malah sebagai seorang guru vokal, kata Syafinaz, bukanlah satu masalah buat seseorang untuk meniru suara artis pilihan namun fokusnya dalam Mentor kali ini bukan mencari klon dirinya.

“Bagi saya tidak akan ada klon untuk mana-mana artis. Mungkin suatu ketika dahulu kita lihat banyak yang cuba menjadi Siti Nurhaliza tetapi akhirnya mereka menemui identiti sendiri.

“Jadi (meniru) bukan satu masalah kerana itu juga adalah salah satu proses pembelajaran,” katanya.

Melihat kreativiti sebagai salah satu tunjang utama dalam karier seorang penyanyi, Syafinaz cukup bangga dengan penyanyi baharu hari ini yang dilihatnya sangat berani mencuba pelbagai cabang dalam bidang ini namun yang merisaukannya adalah apabila tanggungjawab itu tidak diambil serius sehingga merosakkan seni itu sendiri.

“Saya tidak ada masalah jika seseorang penyanyi itu mahu buat semua… dialah menyanyi… dialah komposer… kerana bagi saya itu satu perkembangan yang baik.

“Namun apabila dia mengabaikan ilmu yang sepatutnya digunakan dalam sesebuah pembikinan lagu, itu saya tidak setuju. Jangan ambil mudah perkara ini. Jika tidak tahu, belajar. Muzik juga peraturan yang perlu dipatuhi,” jelasnya.

Saya tidak garang

BERSETUJU menerima tawaran menjadi tenaga pengajar dalam Mentor, Syafinaz, 45, menganggap pembabitan ini sebagai salah satu cara untuknya berkongsi ilmu dengan bakat baharu.

“Sudah tiba masanya saya membimbing bakat baharu yang mempunyai visi dan matlamat. Sebelum ini saya terpaksa tolak pelawaan kerana sibuk dengan tugasan tetapi apabila difikirkan semula, kerja memang tidak akan pernah habis,” katanya.

Agak skeptikal dengan peserta uji bakat yang akan hadir, kali ini keraguannya bukan daripada peserta sebaliknya kata Syafinaz, dia sedar ramai beranggapan dia seorang yang garang.

“Saya takut sebenarnya. Takut jika tidak ada orang yang akan hadir pada hari uji bakat nanti. Kerana saya tahu ada yang ingat saya seorang yang garang.

“Ingin saya jelaskan di sini saya bukan seorang yang garang. Mungkin di universiti, saya perlu lebih tegas sebab ada peperiksaan dan sebagainya.

“Dalam Mentor pula ada teknik yang berbeza untuk saya mengajar mereka ini,” katanya lagi.

Selain Syafinaz, Mentor musim ketujuh kali ini turut menampilkan penyanyi Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana sebagai mentor.

Sesi uji bakat bermula di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Ogos dan 19 Ogos disusuli Sri Pentas, Kuala Lumpur pada 8 September dan 9 September ini yang membabitkan pencarian protege bagi Syafinaz.

Sementara pencarian protege Aizat adalah pada 15 September dan 16 September, Hafiz (22 September dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 September dan 30 September).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN