IPOH 26 Ogos – Pemberian wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) harus dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah politik bagi mendapatkan sokongan rakyat.
![]() |
|
MOHAMED AZMIN ALI
|
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berbanding pendekatan yang dilakukannya di Selangor, rakyat tidak disogok dengan wang tunai sebaliknya diupaya melalui program dan dasar bagi mensejahterakan mereka.
“Sebagai contoh, bagi peniaga-peniaga kecil golongan B40 khususnya, kita memberikan bantuan mikrokredit untuk mereka membesarkan perniagaan masing-masing dengan memberikan pinjaman dari nilai RM1,000 sehingga RM50,000 tanpa kadar faedah.
“Dengan bantuan seumpama ini, pasti mereka dapat mengupaya ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2018 negeri Perak, di sini hari ini.
Mohamed Azmin diminta mengulas mengenai petikan wawancara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama portal The Malaysian Insight yang melaporkan BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.
Ketika ditanya sama ada pemansuhan BR1M akan memberikan kesan negatif kepada rakyat, Mohamed Azmin berkata, beliau percaya Dr. Mahathir dan barisan Jemaah Menteri sedang merangka pendekatan dan inisiatif hala tuju ekonomi negara baharu yang bakal dibahaskan di Parlimen pada Oktober ini.
“(Hala tuju) ini yang meletakkan fokus untuk mensejahterakan rakyat, bukan menyogok dan memperbodoh rakyat.
“Kalau inilah fokus kita untuk mengupaya rakyat, saya percaya rakyat akan mempunyai kuasa ekonomi yang lebih dalam membantu meringankan kos sara hidup keluarga masing-masing,” katanya.












