ISKANDAR PUTERI 19 Ogos – Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) untuk memberi peluang sama meneliti maklumat diperlukan menerusi kerjasama jabatan dan agensi kerajaan.
Permintaan itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad kerana ada kebimbangan di pihak jabatan dan agensi kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada pembangkang.
“Jadi, macam mana kita nak kemukakan hujah untuk kita mendokong apa yang dilaungkan sebagai ketelusan dalam pentadbiran. Bukan maklumat rahsia pun yang kita pohon, benda yang merupakan dokumen awam.
“Jadi, mungkin agaknya perlu ada satu arahan yang jelas oleh pimpinan kerajaan negeri bagi membolehkan jabatan dan agensi memberikan kerjasama kepada kami,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Hasni berkata, dengan menyekat dan menghalang pembangkang mendapatkan maklumat, maka, mana mungkin sebagai pembangkang mereka dapat menambah atau mencadang sesuatu demi penambahbaikan kepada usaha dibuat kerjaan negeri.
Katanya, perkara itu amat penting dan perlu digambarkan oleh kerajaan yang ada supaya di pihak pembangkang dapat menterjemahkan sebagai barisan pembangkang yang baik, konstruktif seperti diharapkan masyarakat hari ini.
“Selain soalan dibangkitkan, kita juga memerlukan maklumat yang tepat tapi kadang-kadang kita terpaksa mendapatkan maklumat menerusi pihak ketiga. Ia tidak sepatutnya berlakulah, kita ni nak jadi pembangkang yang hebat,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










