JAKARTA, Indonesia – Tampil tanpa sebarang harapan di pentas Sukan Asia 2018, S. Prem Kumar melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam penampilan pertamanya pada edisi ke-18 tersebut.
Prem pada mulanya tidak menyertai temasya sukan empat tahun sekali tersebut apabila kategori bawah 55 kilogram (kg) tidak dipertandingkan. Namun, dia dipanggil semula untuk beraksi dalam kelas 60kg bagi menggantikan tempat Senthil Kumaran pada saat akhir yang mengalami kecederaan pada Julai lalu.
Peluang tersebut digunakan sebaik mungkin atlet berusia 24 tahun itu apabila tampil dengan aksi bertenaga dan berjaya mara ke pentas separuh akhir.
Bagaimanapun, Prem ditewaskan oleh wakil tuan rumah, Indonesia, Rifki Ardian Arroosyid dengan keputusan teknikal selepas kedua-dua peserta terikat 4-4.
Meskipun kecewa dengan keadaan itu, Prem menjadikan kekalahan tersebut sebagai pembakar semangat apabila menumbangkan wakil Hong Kong, Lee Chun Ho dengan keputusan 5-0 pada aksi repecharge pingat gangsa.
“Pada mulanya saya tidak beraksi pada Sukan Asia kerana kategori bawah 55kg tidak dipertandingkan. Selepas Senthil tidak dapat beraksi, saya dipanggil menggantikan tempatnya.
“Saya hanya mempunyai tempoh sebulan untuk menaikkan berat badan hampir 5kg dan kembali berlatih dalam waktu singkat. Namun ia tidak mengubah misi saya untuk meraih pingat.
“Pingat gangsa yang saya peroleh sudah pasti untuk pasukan karate yang meletakkan kepercayaan tinggi penyertaan saya di sini. Impian saya untuk meraih emas, namun ia tidak berhasil selepas ditewaskan dengan keputusan juri yang memihak kepada tuan rumah,” katanya.
Sementara itu, pembawa Jalur Gemilang, Syakilla Salni Jefry Krisnan terlepas pingat gangsa apabila tewas kepada wakil Macau, Wong Sok I dengan keputusan 2-3 pada aksi repecharge.











