KUALA LUMPUR 16 Ogos – Daripada terus meletakkan kesalahan kepada pihak lain, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya bersikap jujur dengan memohon maaf berikutan kegagalan melaksanakan 10 janji 100 hari mereka.
Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang percaya jika lebih banyak alasan diberikan oleh kepemimpinan PH, lebih banyak pekung mereka terdedah.
“Lebih baik bersikap jujur dan berjiwa besar memohon maaf kepada rakyat atas kegagalan melaksanakan segala janji 100 hari daripada berterusan menyalahkan orang lain.
“Lagi banyak alasan yang dibuat, lagi banyak pekung kepalsuan yang terdedah hingga menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan kerajaan di mata rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pentadbiran kerajaan PH yang genap 100 hari, esok.
Yang menjadi tumpuan sudah tentu 10 perkara dijanjikan oleh kepemimpinan PH untuk ditunaikan dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih pentadbiran negara apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE











