Beri masa - Utusan Malaysia

Beri masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: TAN SRI RAFIDAH AZIZ adalah antara bekas pemimpin UMNO yang lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN ) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia di kediaman beliau di Bukit Damansara baru-baru ini, Rafidah yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selama 21 tahun, meminta rakyat memberikan masa kepada kerajaan baharu untuk memperbetulkan kembali ‘sistem’ yang sudah rosak.

Beliau yang pernah digelar sebagai ‘Wanita Besi’, menegaskan prestasi kerajaan sekarang tidak sewajarnya dinilai berdasarkan sejauh mana kerajaan telah menunaikan manifesto ‘100 Hari 10 Janji’yang digariskan dalam Buku Harapan.

Menurut Rafidah, apa yang penting kerajaan mempunyai strategi untuk mentadbir negara dalam semua aspek dengan sebaik-baik mungkin.

Katanya, selama 60 tahun BN mentadbir negara sebelum ini, rakyattidak pernah pun memberikan tempoh 100 hari.

“Apabila tiba giliran PH, jangan pula tiba-tiba 100 hari kita beri mandatnya.

Itu tak realistik. Jadi, rakyat kena tengok jangka panjang,” katanya.

Berikut adalah sedutan wawancara antara Rafidah dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID , SAHIDAN JAAFAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto MD. SHAHJEHAN MAAMIN .

Sila layari Utusanonline untuk menonton video penuh wawancara tersebut.

MINGGUAN: Selepas 100 hari PH menjadi kerajaan, bagaimana penilaian Tan Sri?

RAFIDAH: Bagi saya mentadbir negara ini, bukan kira hari. Sebenarnya ini satu cara politik dunia sekarang, 40 hari atau 100 hari dan macam-macam lagi. Tak apalah sebagai slogan 100 hari, buatlah.

Tapi bagi saya realitinya jangan pula kita pegang kerajaan baharu dalam 100 hari hendak buat semua. Itu tidak realistik dan tidak berniat yang baik.

Bagi saya, 100 hari itu hanya sebagai satu komitmen PH untuk melakukan apa yang boleh dalam masa tersebut. Tapi jangan kita lupa, mentadbir negara bukan 100 hari, setahun atau lima tahun.

Bagi saya, 100 hari atau 100 bulan berlalu, asalkan dalam jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang, ada strategi dan langkah-langkah yang wajar untuk mentadbir negara dalam semua aspek yang sebaik-baik mungkin. Itu yang patut dibuat.

Kita lihat dalam 100 hari pun ada perkara yang sudah diselesaikan. Ada perkara yang mengambil masa. Kalau siapa tidak menuntut supaya dibuat kerja dengan betul melalui proses ditetapkan yang akan mengambil masa lebih daripada beberapa bulan, orang itu tidak realistik.

Jadi, kita biarkanlah kerajaan membuat perkara yang patut dibuat. Mungkin belum janji pun. Bila tadbir negara, mereka tengok ada perkara yang harus dibuat, mereka lakukan dengan sempurna. Berikan masa.

Kita tidak pernah beri masa 100 hari kepada kerajaan 60 tahun dahulu. Bila kita sudah undi Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun sejak Perikatan dahulu dan apabila menang, kita kata tadbir negara. Kita hendak tengok hasilnya.

Apabila tiba giliran PH, jangan pula tiba-tiba 100 hari kita beri mandatnya. Itu tak realistik. Jadi, rakyat kena tengok jangka panjang.

Banyak perkara, sungguhpun hendak membetulkan apa yang tak betul mengambil masa kerana ada proses undang-undang. Apatah lagi hendak menjalankan proses pembetulan. Itu pandangan saya. Tidak ada 100 hari. Sudahlah, sudah berlalu. Kita pandang ke hadapan.

Dalam soal memenuhi manifesto pilihan raya bagaimana pula?

RAFIDAH: Itulah kita kadang-kadang tak tengok secara menyeluruh dan gambaran yang luas. Manifesto itu satu sahaja.

Dalam pilihan raya di mana-mana negara pun, manifesto akan dikeluarkan oleh semua parti. Parti ‘nyamuk’ pun keluarkan manifesto.

Jadi bagi saya, tak apalah. Kita pegang manifesto itu sebagai komitmen hendak buat perkara-perkara tertentu. Tapi takkanlah itu pula menjadi panduan pada lima tahun akan datang bagi PH.

Saya sendiri pun tidak akan menerima kerana banyak lagi hendak dibuat. Tapi tidak bolehlah dibuat macam BN dalam dua pilihan raya yang lepas, buku sampai lebih 200 muka surat sampai saya pun tak terbaca. Saya pun tak pernah tengok buku manifesto itu. Itu sudah melampau. Sudah macam Rancangan Malaysia ke-70.

Bagi PH tak apalah. Kita tinggalkan manifesto itu. Bagi saya dan mana-mana parti politik dalam dunia, manifesto adalah petunjuk bahawa parti itu bukan buta tuli bertanding. Tetapi hendak bertanding dengan harapan ada perkara-perkara yang hendak dibuat.

Dalam pilihan raya, kalau hendak buat semua dalam manifesto, itu mencari kerja aniaya. Orang tak baca. Jadi, dia buat perkara yang boleh dibuat dalam masa 100 hari. Itu pun tidak realistik. Tapi tak apalah.

Pada pandangan Tan Sri, apakah PH tidak perlu ada tanggungjawab moral untuk melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto?

RAFIDAH: Tanggungjawab moral apanya? Tanya kepada orang yang buat kerja salah, apa moral dia? Ini yang hendak buat kerja baik, bukan moral lagi tapi tanggungjawab besar.

Ramai merungut dengan tindakan kerajaan mahu menghentikan pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat sebelum ini?

RAFIDAH: Dahulu pun kita ada beri bantuan tapi bertempat. Bukanlah segala-galanya kita beri semasa waktu pilihan raya. Pilihan raya esok hari ini beri bantuan.

Bantuan adalah sistem yang formal. Tak kira semasa waktu perayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau Krismas atau tidak, dapat dengan formula tertentu. Ini ada pula yang tidak dapat. Ada pula yang diminta tunjuk surat nikah untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Jadi maknanya, bantuan ini untuk mendapat undi pilihan raya atau bantu kerana tanggungjawab kita membantu golongan yang kurang mampu? Bagi saya, bantu yang kurang mampu. Jadi, kenalah buat satu lagi analisis mendalam, dalam kalangan rakyat kita, berapa yang sebenarnya wajar dibantu?

Dahulu kita ada Kementerian Kebajikan yang mana kerjanya membantu. Tidak pernah timbul soal BR1M atau tidak. Semua dapat. Jadi kita kena balik kepada mengenal pasti kumpulan yang wajar dibantu. Sama ada dia kurang upaya, daif atau pendapatan kurang di bawah paras kemiskinan. Kita tahu mereka ini di mana.

Kalau Tok Penghulu sudah pastikan Ahmad bin Ali itu lebih daif daripada orang lain, dia seoranglah yang patut dapat (bantuan). Janganlah satu kampung dapat sampai beribu juta ringgit.

Macam anak-anak miskin, dibantu biayai. Janganlah yang miskin dan yang kaya dapat. Jadi, kenalah sistematik supaya duit bantuan kepada rakyat yang memerlukan itu berbaloi. Maka tidak adalah rungutan. Yang wajar dapat, dapat. Yang tak wajar dapat, janganlah bagi. Tapi semua orang seronok bila dapat.

Apakah Tan Sri melihat perbelanjaan kerajaan BN dahulu begitu boros dan tidak terkawal?

RAFIDAH: Saya pun hairan seumur hidup saya sudah 75 tahun, tidak pernah melihat kerajaan yang begitu bermurah hati. Sekejap untuk pemandu teksi, kejap minyak, kejap tayar. Selagi ada yang tidak diberi. Orang pencen pun dapat kenaikan dua peratus.

Maksud saya, janganlah kita beri sesuatu hanya untuk mengambil hati rakyat. Itu bukan caranya. Kita bukan negara yang begitu. Kita ada peruntukan yang harus untuk pembangunan, operasi mentadbir negara dan untuk membantu yang memerlukan. Tafsiran yang memerlukan perbelanjaan mestilah ketat dan jelas.

Jangan beri sembarangan dengan tujuan untuk mendapat undi. Mereka ambil tapi tidak beri undi pun. Kalau tidak, takkan kalah. Kerana mereka tahu keadilan itu tidak ada. Itu sudah berlalu sudahlah. Kita fikir ke hadapan.

Berdasarkan pemerhatian Tan Sri, apakah kerajaan sekarang berada di landasan yang betul?

RAFIDAH: Oleh sebab ramai orang (menteri) baharu, respons kerajaan kepada kehendak negara adalah memuaskan. Kita harap jangan pula esok ‘terpeleot’. Saya yakin dengan kepemimpinan yang ada, akan diselaraskan dasar. Kita tidak mahu lagi flip-flop macam dahulu sampai kita keliru. Hari ini kata A, esok kata B dan lusa kata C.

Rakyat bertanya apa cerita kita? Hari ini nampak okay sebab dibincang dalam Kabinet dan sesama sendiri. Kalau begitu jalannya ke hadapan maka tidaklah timbul masalah flip-flop yang menimbulkan tanda tanya kepada kerajaan lepas.

Bercakap tentang flip flop, rakyat pun membangkitkan tentang tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang beberapa kali membuat pusingan U.

RAFIDAH: Minta maaflah, saya tidak mahu komen tentang kerajaan yang lepas kerana mereka cuma nampak salah orang sahaja. Kuman seberang laut nampak, tapi gajah yang bersalut najis di depan, dia tak nampak. Jadi, tak usahlah. Nasihat saya, sudahlah. Jangan cakap banyak orang-orang ini. Insaflah apa yang telah dibuat pada negara yang telah menyusahkan rakyat dan betulkan balik.

Sebagai pembangkang belajarlah balik. Janganlah sedap bila jadi pembangkang, boleh komen. Kalau dahulu, bila kita baca komen masing-masing macam tak ada akal sesetengahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini