BINTULU 31 Ogos – Dua pelajar dan tiga penganggur berusia 16 hingga 19 tahun ditahan polis dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah stesen bas di luar sebuah sekolah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, polis menerima maklumat lantas bergegas ke lokasi namun kesemuanya telah melarikan diri.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, salah seorang suspek tersebut mengalami kecederaan di ibu jari sebelah kanan ekoran terkena benda tajam dan berada di pondok pengawal.
Katanya, suspek itu telah mendapat rawatan di Hospital Bintulu sebagai pesakit luar.
“Hasil maklumat pihak polis, Op Cantas dilancarkan untuk mengesan suspek-saspek lain yang mana empat lagi berjaya ditahan di kawasan sebuah kampung dan pasar raya sekitar pukul 10.30 malam tadi.
“Kejadian pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada selisih faham kecil antara tiga suspek di sebuah kedai makan yang kemudiannya berlarutan sehingga ke sebuah stesen bas berhampiran sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, suspek-suspek itu telah dikenakan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Masjitret Bintulu.
“Kesemua suspek disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata semasa rusuhan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun atau denda atau keduanya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











