KUALA LUMPUR 21 Ogos – Bengkel Dayarena Automative yang terletak di Taman Mastiara, di sini telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai dan menyediakan sebanyak lapan ruang penyelenggaraan dan baik pulih.
Ketua Pegawai Operasi Dayarena Resources Sdn. Bhd., Mohd. Amir K. Baba berkata, bengkel itu mampu memberikan perkhidmatan kepada 10 buah kereta setiap hari bergantung kepada jenis perkhidmatan.
“Keistimewaan bengkel ini adalah ia dikendalikan oleh barisan mekanik yang berpengalaman bagi memberikan perkhidmatan penyelenggaraan dan membaik pulih yang pantas kepada para pelanggan.
“Sebagai permulaan, bengkel ini akan operasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat dan akan dilanjutkan menjadi 24 jam dalam masa terdekat,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Amir, seramai 10 mekanik di bengkel tersebut mempunyai pengalaman terkumpul antara 10 hingga 15 tahun bagi menyelenggara kereta keluaran Eropah mahupun Jepun.
Katanya, pertaruhan untuk menceburi bidang itu turut dibuat dengan menampilkan pasukan pentadbiran syarikat yang berpengalaman luas bagi memastikan kelancaran operasi harian bengkel berkenaan.
“Pasaran industri bengkel ini amat luas dan kajian daripada syarikat mendapati terdapat permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan yang berkaitan.
“Ini adalah antara sebab mengapa kami menawarkan perkhidmatan untuk semua jenis model kereta yang terdapat di pasaran menerusi para mekanik yang berpengalaman meluas dalam industri automotif,” jelasnya.











