KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kedah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung dana penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000.
Suspek bergelar Datuk berusia 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ini di Pejabat SPRM Kedah ketika hadir untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, bekas ADUN tersebut dipercayai telah memohon penggunaan dana tersebut pada Februari tahun lalu atas alasan penganjuran sebuah program.
Ujarnya, bagaimanapun wang terbabit tidak digunakan untuk program tersebut apabila telah diluluskan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui kemana wang tunai terbabit pergi.
“Sehubungan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar esok untuk permohonan reman,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut. – UTUSAN ONLINE










