PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memproses lebih daripada 90 peratus permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi pembayar cukai individu setakat 31 Julai lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, berdasarkan kedudukan Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) yang terhad keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada kategori pembayar cukai tersebut.
“Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin turut mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa terdapat kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC.
Guan Eng pada Rabu lalu mendedahkan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar berjumlah RM16.04 bilion yang tertunggak sejak lebih enam tahun hingga 31 Mei lalu.
Jumlah itu melibatkan 1,653,786 kes merangkumi syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang tidak menerima bayaran balik cukai terlebih bayar mereka daripada LHDN disebabkan kekurangan pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC.
Menurut Guan Eng, baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei tahun ini hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.
Sabin berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat, pihaknya akan memberikan pertimbangan kepada permohonan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN untuk tolak selesai cukai yang perlu dibayar bagi tahun semasa.
“Pembayar cukai hendaklah mengemukakan permohonan tolak selesai tersebut kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka.
“Bagi pembayar cukai yang tidak memohon untuk tolak selesai, bayaran balik mereka akan diproses bergantung kepada peruntukan TBBC yang diluluskan kerajaan dan kedudukan kewangan negara,” katanya.
Sabin berkata, mengambil kira kekangan kewangan akibat hutang kerajaan yang melebihi RM1 trilion, Menteri Kewangan sedang berusaha mencari sumber kewangan bagi membuat bayaran balik sama ada pada tahun depan atau tahun-tahun berikutnya. – Bernama











