Barisan Kabinet Pakatan Harapan tiada pengalaman - Utusan Malaysia

Barisan Kabinet Pakatan Harapan tiada pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan khidmat Majlis Penasihat Kerajaan masih diperlukan kerana barisan Kabinet Pakatan Harapan tiada pengalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tegas beliau, kebanyakan menteri dan timbalan menteri yang dilantik selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih baharu untuk menunaikan tanggungjawab dengan cepat.

“Kabinet kita tiada pengalaman, ramai yang baharu. Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan sesiapa berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas.

“Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan menggunakan cara sendiri, mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” katanya selepas diminta mengulas mengenai peranan Majlis Penasihat Kerajaan yang dipersoalkan kepemimpinan Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Majlis Penasihat Kerajaan akan dikekalkan dan diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, peranan majlis yang dianggotai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; ahli perniagaan dan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi bertaraf antarabangsa, Prof Dr. Jomo Kwame Sundaram itu akan diperbaharui.

“Saya menjelaskan mengenai peranan baharu majlis tapi masih orang yang sama dan kepemimpinan masih Daim. Dalam masa sama, saya hendak cari peranan baharu untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menegaskan, Muhammed Abdul Khalid tidak berada dalam Majlis Penasihat Kerajaan sebaliknya bekas pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah itu berperanan sebagai penasihat ekonomi kepada beliau.

“Beliau bukan untuk majlis, tetapi dilantik bagi memberi analisis berterusan berhubung ekonomi negara kepada saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini