Bantu pesakit depresi - Utusan Malaysia

Bantu pesakit depresi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM ucapan di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad mengulas isu kesihatan mental. Natijahnya mudah: Jangan pandang serong kepada individu yang mendapatkan rawatan psikiatris di hospital.

Walaupun sidang Parlimen kali ini hangat dengan isu-isu relatif politik, kenyataan Dr. Dzulkefly membawa kita ke dimensi baharu. Lupakan politik. Ada tanggungjawab segera untuk melihat realiti sosial yang selama ini menjadi stigma masyarakat.

Bukan semua isu mental relatif kepada istilah gila. Masyarakat perlu faham asas lain mengenai gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depression) dan ketegangan jiwa (stress) bukan istilah gila.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiga simpton gangguan emosi ini, kini fenomena penyakit yang meluas dalam kalangan rakyat negara ini. Data September 2017 menunjukkan 4.2 juta atau 29.2 peratus rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami isu berkaitan masalah mental. Ini data Kementerian Kesihatan.

Apa pun kita lihat seputar kisah yang mengejutkan dunia mengenai kejadian maut yang berpunca daripada isu gangguan kesihatan mental.

Tragedi bunuh diri dalam kalangan artis terkenal Barat dan bintang K-Pop menyebabkan dunia mulai heboh bercakap mengenai kesan penyakit kemurungan serta potensi bunuh diri penderita kemurungan.

Heath Ledger, pelakon watak Joker dalam filem Batman ditemui mati bunuh diri pada 22 Januari 2008. Kejadian ini mengejutkan dunia kerana bintang muda berusia 28 tahun itu hidup dalam kemasyhuran.

Pada 18 Mei 2017, Chris Cornell, Vokalis Audio Slave pula ditemui mati bunuh diri. Kematian Cornell disusuli sahabatnya, vokalis Linkin Park, Chester Bennington pada 20 Julai tahun yang sama. Kemudian dunia hiburan pop digemparkan pula dengan kematian bunuh diri bintang boy band K-Pop, Kim Jonghyun.

Kejutan terbesar tentulah Bennington. Penyanyi terkenal ini membunuh diri selepas meraikan ulang tahun anaknya. 45 minit sebelum tragedi itu, dia dikatakan dalam keadaan sangat gembira. Dunia terkejut kerana vokalis pop metal ini dilihat ikon anak muda yang sentiasa positif dengan lagu-lagunya yang havoc dan bersemangat.

Ini hanya senarai terkini. Kejadian bunuh diri kalangan artis popular berlaku sejak era Jimi Hendrix (1970), Elvis Presley (1977) dan Kurt Cobain (Nirwana 1994). Tidak saja di Hollywood dan arena K-Pop, Bollywood turut dilanda tragedi bintang terkenal mati bunuh diri. Antaranya, Jiah Khan (2013) dan Diva Bharti (1993). Malah, aktres legenda Parveen Babi juga ditemukan mati bunuh diri (2005).

Ini indikasi popular senarai kes bunuh diri kalangan artis terkenal. Namun, punca kematian mereka sama dengan ribuan kes bunuh diri yang lain. Mereka mengalami tekanan depresi atau penyakit kemurungan.

Amaran The Befrienders

Jadi tidak hairanlah, apabila NGO The Befrienders mendedahkan fakta mengejutkan mengenai data ancaman bunuh diri dalam kalangan pesakit depresi baru-baru ini. Sepanjang 2017, The Befrienders menerima 27,000 panggilan dan e-mel berkaitan kemurungan yang mendorong pada keinginan bunuh diri. Ia angka yang sangat mengejutkan.

Pengerusinya, Justin Gerard Victor mendedahkan, angka itu menakutkan. Ia meningkat berbanding statistik 25,000 panggilan dan emel pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan sebanyak lapan peratus membuatkan para sukarelawan melipatgandakan usaha bagi memastikan konflik pemanggil didengari dan diberikan perhatian sewajarnya.Kita ingin singkirkan stigma dan tanggapan negatif umum yang menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan pertolongan dan rawatan.

Tragedi bunuh diri dalam kalangan artis terkenal Barat dan bintang K-Pop menyebabkan dunia mulai heboh bercakap mengenai kesan penyakit kemurungan serta potensi bunuh diri penderita,” kata Justin.

Beliau berkata demikian pada program bicara Penyakit Mental: Pembunuh Senyap sempena Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan (NALS) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 Februari lalu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Marhani Midin; Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nurashikin Ibrahim dan Presiden Medtweet.my, Dr. Khairul Hafidz Alkhair.

Kita renung sejenak persekitaran yang dialami pesakit kemurungan di negara ini. Percayakah anda, kos yang mahal bakal menjadi punca penderita depresi mati bunuh diri?

Kos Rawatan Terlalu Mahal?

Kos rawatan pakar swasta dan bil perubatan menelan belanja sekitar RM500 bagi satu kaunseling sekitar 30 minit. Stok ubat yang dibekalkan hanya untuk enam ke lapan minggu. Secara purata, pesakit memerlukan antara RM6,000 hingga RM9,000 setahun bagi menanggung bil rawatan. Bagi yang tidak mampu, mereka harus ke hospital kerajaan.

Cabarannya tentu lebih rumit. Ketika tekanan depresi sudah memuncak dan mendekati keinginan bunuh diri, paling cepat peluang mendapatkan rawatan pakar kerajaan memerlukan tempoh dua minggu.

Dua minggu tanpa ubat, ketika tekanan kemurungan sudah memuncak – tanpa bantuan kaunseling, kejadian bunuh diri boleh berlaku pada bila-bila masa. Itu belum lagi pesakit kemurungan mengalami dilema kerana terpaksa mendaftar secara terbuka di Jabatan Psikiatri dan duduk sebaris di kerusi menanti dengan pesakit mental untuk bertemu doktor pakar.

Selain itu, tahukah anda: Ketika penderita depresi bertemu doktor di klinik pakar hospital swasta, dan menyatakan tahap depresi yang dialami sangat kritikal, mereka tidak akan dirawat di wad. Mereka hanya diberikan kaunseling dan ubat. Hospital swasta memiliki polisi tidak menerima pesakit depresi di wad!

Alasannya pakar psikiatris mudah: Hospital swasta tidak menyediakan wad khas kerana bimbang, pesakit depresi mencetuskan kekacauan. Hospital swasta hanya memberikan servis komersil pesakit luar.

Paling menyakitkan hati ialah perbezaan harga ubat. Tahukah anda: Xanax 0.5mg yang digunakan sebagai ubat popular dalam rawatan depresi dijual pada harga RM5 sebiji di hospital swasta? Manakala di hospital kerajaan, harganya kurang RM1.

Kita masih kuno dalam menangani rawatan masalah depresi. Kekurangan pakar psikiatri, serta tekanan komersial yang teruk dalam kos kaunseling dan perubatan, adalah pembunuh awal sebelum pesakit membunuh diri. Post saja artikel ini di FB dan bukalah perdebatan.

Banyak pendedahan mengejutkan akan dibuat pesakit yang berani, atau ahli keluarga yang menjaga mereka. Sistem rawatan kita terhadap pesakit depresi masih di tahap “Yahudi melayan Palestin”.

Seorang penderita depresi pernah mengunjungi hospital swasta dan mendedahkan: “Tadi, saya berada di tengah jalan raya dan mengharapkan kenderaan besar yang laju melanggar saya hingga mati. Tetapi saya kuatkan diri untuk datang ke mari.” Anda tahu apa jawapan doktor bertugas di bahagian kecemasan hospital swasta itu?

Pada pukul 12.00 tengah malam, ketika pesakit itu mengalami kecelaruan pemikiran, doktor hanya memberikan jawapan simpati. Namun, ia langsung tidak masuk akal. “Kami tidak menerima pesakit psikiatrik. Anda harus ke tempat lain….” Pesakit itu merayu: “Berikan saya sesuatu. Saya perlu bertahan sebelum esok pergi mencari tempat rawatan yang sesuai.”

Doktor itu menjawab: “Saya tidak dapat membantu.” “Ubat psikiatrik hanya boleh diberikan pakar psikiatrik.” Pesakit itu merayu lagi: “Berikan saya xanax atau clonazepam. Saya sudah kehabisan ubat sejak seminggu lalu.” Doktor itu menjawab: “Maaf. Anda perlu bertemu psikiatris. Saya tidak boleh memberikan ubat jenis itu.”

Tahukah anda: Akhirnya, pesakit yang sejam sebelum bertemu doktor itu hampir membunuh diri di jalan raya, akhirnya keluar begitu saja.

Walaupun sudah menyatakan dirinya dibayangi perasaan mahu membunuh diri, dia tidak punya tempat di bahagian kecemasan hospital swasta. Ini bukan aneh.

Semua rawatan psikiatrik adalah projek mewah di hospital swasta. Ia dianggap penyakit mewah. Kos kaunseling doktor pakar dan harga ubat yang mahal, menjadikan depresi ialah penyakit elit yang berorientasikan wang, wang dan wang!

Apa yang didedahkan Befrienders hanyalah angka. Apa yang belum didedah dan didebatkan secara terbuka ialah bagaimana SOP dan persediaan hospital swasta dan kerajaan dalam membantu mangsa?

Kita sudah ada angka dan fakta. Kita sudah ada pengetahuan dan kesedaran. Apa yang kita belum ada hanyalah tindakan efektif bagi membantu pesakit depresi.

Sebanyak 27,000 angka panggilan dan e-mel yang didedahkan Befrienders akan berubah menjadi angka kematian sedikit demi sedikit pada tahun-tahun mendatang. Selagi kita tidak berubah dalam bentuk penyediaan rawatan yang boleh diakses secara mudah dan murah.

Ingat! Depresi bukan penyakit gila. Ia kombinasi yang kompleks mengenai komposisi kognitif. Depresi juga merangkumi isu genetik dan penghasilan kimia dalam tubuh. Selain soal utama yang bersangkutan dengan kejiwaan dan perasaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN