Bantu anak-anak bebas gajet - Utusan Malaysia

Bantu anak-anak bebas gajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERINGKALI kita melihat ibu bapa memberikan anak-anak gajet ketika di meja makan atau ketika mahu melakukan kerja, rumah atau lebih buruk ketika diri sendiri mahu melayari gajet tanpa diganggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sudah pasti timbul pelbagai tanggapan sebaik melihat situasi begitu antaranya, “Eh, teruknya mak ayah budak itu”, “Kenapalah beri telefon pada anak-anak, kasihan mereka diabaikan”, atau mungkin ada yang beranggapan keadaan itu berlaku kerana ibu bapa perlu masa untuk ‘bertenang’.

Walau apa pun alasan atau pandangan, isu pendedahan anak-anak terhadap gajet sering menjadi antara isu yang dikupas, pun begitu, belum ada satu kaedah atau cara signifikan yang boleh mengatasi isu berkenaan secara tuntas.

Ini kerana, zaman ini adalah zaman anak-anak ‘terpaksa’ dibesarkan dalam keadaan semuanya berada di hujung jari. Jadi, ibu bapa menjadi individu paling hampir dalam mendepani situasi berkenaan.

Walaupun gajet menjadi antara medium paling penting ketika ini, tidak seharusnya ibu bapa mengambil jalan singkat dengan membiarkan anak-anak terlalu leka di dalam dunia teknologi tanpa pengawasan.

Membawa contoh pemilik jenama Apple Inc., mendiang Steve Jobs, dahulu biarpun berada di dalam dunia berteknologi tinggi, dia tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan sebarang gajet pada waktu persekolahan, malah hanya memberikan tempoh waktu terhad bagi penggunaan gajet pada waktu lapang.

Hakikatnya kebanyakan ibu bapa sering mengambil mudah tentang ‘kebebasan’ menggunakan Internet dan berharap anak-anak dapat memilih kandungan Internet yang menepati usia mereka.

Pun begitu, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Datuk Dr. Zulkifli Ismail, berkata, mengikut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang kajian penggunaan Internet tahun lalu menyatakan, hanya 17.2 peratus golongan ibu bapa memuat turun aplikasi perisian bagi mengawasi kandungan yang dilayari anak-anak, manakala 70.4 peratus ibu bapa lain sekadar memberi pengetahuan tentang keselamatan ketika menggunakan Internet.

Selain itu, 87.1 peratus ibu bapa lain pula akan memastikan keselamatan kanak-kanak ketika melayari Internet.

Tambah beliau, terdapat juga 69.2 peratus golongan ibu bapa yang tidak melanggan sebarang perisian keselamatan kerana mempunyai peraturan sendiri, manakala 59.1 peratus lagi ibu bapa tidak berbuat demikian kerana tidak mengetahui kewujudan perisian berkenaan, serta 47.4 peratus pula mempercayai anak-anak mereka dalam memilih kandungan Internet yang baik.

Katanya, tidak dinafikan penggunaan gajet mempunyai pelbagai manfaat, misalnya membantu membangunkan perkembangan kognitif, merangsang deria dan imaginasi, melatih penggunaan deria pendengaran dan percakapan serta membantu kemahiran berkomunikasi.

“Pun begitu, jika penggunaannya tidak dipantau akan mengundang isu berkaitan kesihatan, seperti menyebabkan gangguan perkembangan kognitif, lambat bercakap, masalah kesukaran tidur, perkembangan motor visual dan motor sensor yang lemah, serta masalah sikap yang sukar ditangani seperti degil, nakal, cepat marah, mengamuk, membuli dan tidak suka bergaul dengan kanak-kanak lain.

“Selain itu, kanak-kanak juga terdedah dengan masalah kekurangan vitamin D kerana lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah, selain berdepan dengan masalah berkaitan mata seperti mata kering, mata terlalu berair atau tidak berkedip dan mengalami obesiti,” jelasnya pada program Perbincangan Meja Bulat bersama Pakar mengenai Membesarkan Kanak-Kanak Bebas Gajet, di Petaling Jaya Selangor, baru-baru ini.

Program tersebut sempena Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak oleh Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia dan Nippon Paint .

Justeru, untuk mengurangkan kebergantungan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak, ibu bapa harus menetapkan peraturan dengan mewujudkan zon bebas gajet terutama ketika waktu makan bersama termasuk ketika makan di luar, serta di dalam bilik tidur.

Jika membenarkan anak-anak menggunakan gajet, pastikan dengan pengawasan serta masa yang terhad selain perlu menonton atau menggunakannya bersama-sama agar ibu bapa boleh mengawasi kandungan Internet.

Di samping itu, ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak keluar bermain aktiviti fizikal selain turut serta bermain bersama mereka.

“Perhatikan anak-anak ketika menggunakan gajet dengan tegas. Jangan biarkan mereka menggunakan gajet ketika gelap serta jarakkan skrin dari mata anak anda agar penglihatan mereka tidak rosak,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah mengingatkan, ibu bapa harus menjadi teladan kepada anak-anak dalam penggunaan gajet seharian bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada penggunaan gajet.

Katanya, adalah tidak wajar menjadikan gajet sebagai ‘pengasuh digital’ anak-anak walaupun berdepan kesukaran mengendalikan mereka pada saat-saat sukar kerana ia bukan lah jalan terbaik untuk jangka masa panjang.

“Kebanyakan ibu bapa sering memberikan gajet semata-mata kerana mahu memudahkan mereka melakukan urusan seharian. Mungkin nampak biasa tetapi ini tidak seharusnya berlaku kerana ia mengundang keadaan yang lebih buruk.

“Ibu bapa juga seharusnya tidak menghadap gajet di depan anak sepanjang masa kerana anak-anak mudah mengikut apa yang dilakukan ibu bapa dan bukannya mendengar arahan,” katanya ketika majlis pelancaran dan pameran pertama Pusat Sumber dan Perpustakaan Kanak-kanak di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN