BANGSAMORO BANGKIT - Utusan Malaysia

BANGSAMORO BANGKIT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK yang berlaku antara penduduk Islam di bahagian Selatan Filipina dengan pentadbiran pusat Manila telah bermula melebihi tujuh dekad. Ini jika dikira daripada Republik Filipina mencapai kemerdekaan dalam tahun 1946 (sebenarnya konflik yang berlaku bermula lebih awal lagi iaitu sejak pentadbiran Sepanyol dan penyerahan kuasa kepada penjajah Amerika Syarikat (AS) pada 1898).

Kemerdekaan yang dicapai oleh Republik Filipina pada 1946 membawa kepada konflik yang tidak berkesudahan, bilamana cadangan penduduk Islam bagi membentuk sebuah negara Islam berasingan dan terpisah dengan pentadbiran pusat Manila (sebagaimana yang berlaku di benua kecil India iaitu penubuhan Republik Islam Pakistan) ditolak AS yang menyerahkan kemerdekaan kepada Republik Filipina.

Masyarakat Islam selatan Filipina gagal membentuk sebuah negara sendiri sebagaimana yang berjaya dicapai Republik Islam Pakistan di benua kecil India.

Perjuangan penduduk Islam di bahagian Selatan Filipina terus berlangsung selepas Filipina merdeka daripada AS selepas Perang Dunia II. Pihak kerajaan pusat terus bertindak terhadap pejuang Islam di Selatan yang dipelopori beberapa pertubuhan Islam.

Gelaran gerakan ‘pemisah’ tidak begitu tepat untuk digunakan terhadap Gerakan Islam Selatan Filipina. Perkataan lebih tepat adalah perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan. Ini kerana wilayah yang diperjuangkan masyarakat Islam ini adalah wilayah mereka duduki turun temurun, sebelum kedatangan penjajah Sepanyol lagi.

Bahkan masyarakat Islam pernah membina kerajaan besar Sulu-Magindanao yang pengaruhnya sehingga ke bahagian utara sampai ke Manila. Kedatangan penjajah Sepanyol pada awal abad ke-16, menyebabkan penduduk Islam telah ditekan dan ditolak sedikit demi sedikit dengan berbagai tekanan bermula dari Luzon ke Pulau Visayan dan akhirnya ke Mindanao dan pulau-pulau selatan.

Selepas mencapai kemerdekaan, kerajaan pusat Manila menggalakkan penghijrahan penduduk bukan Islam dari bahagian utara yang padat ke kawasan Islam Mindanao dengan beberapa tujuan. Antaranya bagi mengurangkan kawasan majoriti Islam di kawasan Mindanao dan pulau-pulau Selatan.

Sehingga kini pulau Mindanao bukan lagi kawasan majoriti Islam secara menyeluruh sebagaimana keadaan yang wujud dalam dekad-dekad awal selepas Filipina mencapai kemerdekaan.

Melalui penghijrahan besar-besaran penduduk bukan Islam dari utara, maka terbentuklah masyarakat campuran di bahagian selatan Filipina yang bukan lagi majoriti Islam di sebahagian besar Pulau Mindanao. Ini adalah antara strategi yang berjaya bagi melemahkan atau mengurangkan kawasan majoriti penduduk Islam di bahagian selatan Filipina.

Gerakan besar-besaran penduduk Islam yang dipelopori MNLF telah bermula dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, atau lebih awal lagi. Pimpinan seperti Nur Missuari memainkan peranan besar dalam perjuangan Islam di bahagian Selatan Filipina.

Banyak perjanjian damai telah ditandatangani antara pihak Islam dan kerajaan Filipina. Tidak ada satu yang benar-benar berjaya dan dapat memenuhi hasrat perjuangan masyarakat Islam Selatan Filipina. Ini disebabkan oleh berbagai faktor.

Kekuatan kerajaan pusat Filipina dengan sokongan kuat kerajaan pusat dan juga kuasa besar AS memberi kelebihan kepada pihak kerajaan Filipina. Kelemahan gerakan Islam dari segi kelengkapan fizikal, bilangan anggota, masalah kewangan serta perpecahan gerakan Islam kepada beberapa kumpulan juga mempengaruhi kepada kegagalan masyarakat Islam dan berlakunya konflik yang berpanjangan. Puak Islam belum tercapai bagi membentuk kuasa autonomi dan kerajaan sendiri.

Apa yang dilakukan oleh Presiden Rodrigo Duterte pada 26 Julai lalu iaitu meluluskan Undang-Undang Organik Bangsamoro adalah satu perkembangan baru yang mungkin boleh membuka era baru bagi penduduk Islam Selatan Filipina dan kerajaan pusat.

Duterte meluluskan undang-undang yang membenarkan penduduk minoriti Islam melangkah ke arah pemerintahan sendiri pada tahun 2022. Ini mengikut Duterte adalah bagi menghapuskan konflik antara penduduk Islam bahagian Selatan Filipina dengan kerajaan pusat sejak lebih separuh abad berlaku.

Sokongan

Pengenalan undang-undang ini mungkin ada hubungannya dengan faktor idiosinkratik Duterte yang mempunyai hubungan rapat dengan wilayah Mindanao dan lebih memahami masyarakat Islam Selatan Filipina. Beliaulah satu-satunya presiden pertama berasal dari Mindanao serta berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao yang lama.

Faktor ini tidak dinafikan dan mempunyai hubungan dengan Undang-Undang Organik Bangsamoro yang diluluskan Duterte. Tindakan beliau ini dilihat positif oleh banyak pihak sebagai jalan penyelesaian konflik yang telah lama berlaku di selatan Filipina.

Murad Ebrahim, iaitu pengerusi MILF (Barisan Pembebasan Islam MORO) yakin dengan Undang-Undang Organik Bangsamoro yang diluluskan oleh Duterte. Murad berharap dengan undang-undang itu akan menarik kerjasama dan sokongan masyarakat Islam terhadap pertubuhan itu dan kerajaan pusat Filipina serta menolak masyarakat Islam daripada memihak kepada kumpulan pengganas.

Diharapkan masyarakat Islam akan memilih kepada politik aman yang boleh membawa kestabilan kepada kawasan penduduk Islam bahagian Selatan Filipina. Duterte mengharapkan perkara yang sama iaitu kerjasama masyarakat Islam terhadap perjanjian damai dan menolak sokongan kepada kumpulan pengganas.

Apa yang berlaku di bandar Marawi pada akhir Mac 2017 diharapkan tidak akan berulang lagi. Banyak negara–negara Islam menyokong undang-undang baru yang diluluskan Duterte ini. Antara negara yang menyokong adalah Malaysia dan Turki.

Pihak Malaysia dan Turki berharap undang-undang baru yang diluluskan oleh pentadbiran Duterte ini akan membuka era baru bagi membentuk kerjasama dan kestabilan di wilayah Islam Selatan Filipina.

Adalah diharapkan proses seterusnya bagi Undang-Undang Organik Bangsamoro akan menjadi realiti dan berjalan lancar.

Proses Pembentukan Wilayah autonomi Bangsamoro yang akan berlangsung dalam masa tiga hingga lima bulan selepas efektifnya Undang-Undang Organik Bangsamoro iaitu antara bulan November hingga Januari 2019 berjalan lancar serta mendapat sokongan besar penduduk Islam Selatan Filipina.

Kerajaan Autonomi Bangsamoro yang akan diketuai seorang Ketua Menteri dan seorang wali (ceremonial leader) yang mempunyai 80 orang ahli Parlimen diharap akan berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Hal mengenai keselamatan dan pertahanan di Wilayah Autonomi Bangsamoro masih dikawal dan menjadi tanggungjawab kerajaan pusat Filipina. Di bawah Undang-Undang Organik Bangsamoro ini juga membenarkan anggota MNLF dan MILF menyertai anggota polis dan pasukan pertahanan kerajaan pusat Filipina.

Aspek keselamatan dan kestabilan ini amat penting bagi kebajikan masyarakat dan pembagunan sosio-ekonomi di bahagian Selatan Filipina.

Banyak kesan rantaian positif akan berlaku dan dapat dilakukan jika telah wujud keselamatan yang terjamin dan kestabilan sosio-politik di Selatan Filipina.

Keselamatan, kestabilan politik, peluang ekonomi dan pelaburan serta peningkatan taraf hidup penduduk Islam adalah antara faktor-faktor yang saling berkaitan. Oleh itu, pertubuhan dan gerakan Islam mesti meletakkan isu ini sebagai isu besar bagi kebaikan jangka panjang masyarakat Islam Selatan Filipina.

Tanpa kekuatan ekonomi masyarakat Islam dan taraf hidup yang terjamin, pengaruh negatif senang menyerap masuk serta mereka akan terus terkebelakang dan berterusan gagal mencapai matlamatnya.

Agenda ekonomi perlu diberi keutamaan selain daripada persoalan perlaksanaan undang- undang Syariah dan lain-lain persoalan khusus mengenai agama Islam.

Islam perlu dilihat lebih menyeluruh sebagai complete way of life serta bersifat bersepadu dalam semua aspek kehidupan moden. Kedua-dua pihak, iaitu kerajaan pusat dan pertubuhan dan gerakan Islam di selatan Filipina perlu melihat Undang-undang Organik Bangsamoro ini sebagai satu usaha kepentingan bersama dan bukan hanya bagi kepentingan satu pihak sahaja.

Jauh sekali ia bertujuan bagi kepentingan politik jangka pendek dan bagi tujuan-tujuan pihak tertentu sahaja.

Penulis ialah Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN