KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kira-kira 20 pesakit warga emas di wad Geriatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) teruja apabila menerima kunjungan tetamu dari Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara.
Lawatan tersebut yang diketuai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Udara, Datin Seri Normah. Md Sap yang menghabiskan masa kira-kira sejam dengan bertanya khabar warga emas berkenaan.
Menurutnya, program kebajikan itu merupakan idea daripada Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Puan Seri Hajah Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah.
Dalam lawatan muhibah berkenaan, Bakat Udara turut menyumbangkan keperluan untuk kegunaan warga emas berkenaan termasuk lima buah kerusi tolak, tiga kerusi roda, lima bingkai berjalan, 10 tongkat kaki berkaki empat, lampin pakai buang dewasa dan kelengkapan mandian.
“Kita berharap sumbangan tersebut dapat memberi kemudahan kepada golongan warga emas ini selain meringankan beban pihak hospital dalam menguruskan keperluan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Unit Geriatrik HKL, Dr. Rizah Mazzuin Razali.
Katanya, Bakat Udara akan terus mengadakan program kebajikan dengan lebih konsisten pada masa hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan. – UTUSAN ONLINE










