KUALA LUMPUR 13 Ogos – Penat dan kekurangan gula dalam badan menjadi punca penyanyi Baby Shima tiba-tiba pitam di pentas program realiti Big Stage semalam.
Menurut pengurus penyanyi itu, Andy Aico, kepadatan jadual kerja di Indonesia dan cabaran dalam program Big Stage menyebabkan Baby Shima atau Nor Ashima Ramli keletihan memandangkan perlu berulang alik antara Kuala Lumpur dan Indonesia setiap minggu.
Bagaimanapun jelas Andy, insiden semalam tidak akan menyebabkan penyanyinya itu menarik diri daripada Big Stage walaupun kerjaya nyanyian Baby Shima kini lebih menyerlah di Indonesia.
“Ikutkan Baby Shima memang sudah menetap di Jakarta malah baru sahaja menandatangani kontrak selama tiga tahun di sana. Jadi untuk program Big Stage kami perlu berulang alik setiap minggu.
“Memang sesuatu yang memenatkan untuk Baby Shima tetapi pada masa yang sama dia tidak melihat kejadian semalam mambuatkan dia perlu menarik diri,” kata Andy yang memberitahu dia dan Baby Shima akan kembali ke Jakarta pada Rabu ini.
Bercakap mengenai kesihatan Baby Shima, 25, menurut Andy, penyanyi itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan akibat pitam di pentas Big Stage semalam.
“Doktor memberitahu keletihan dan kekurangan gula menjadi sebab dia pengsan semalam. Alhamdulillah selepas dirawat beberapa jam selepas itu kami dibenarkan pulang dan ketika ini keadaan Baby Shima semakin pulih,” katanya.
Semalam penonton konsert minggu kedua Big Stage dikejutkan dengan insiden Baby Shima yang tiba-tiba rebah selepas selesai menyampaikan lagu Ku Tak Akan Bersuara yang dipopularkan Nike Ardilla pada pertandingan yang diadili oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir itu. – UTUSAN ONLINE










