DI SEBALIK watak dominan yang sering ditunjukkan dalam drama-drama lakonannya, Azizah Mahzan mengakui, dia agak fobia untuk bekerja dengan orang yang tidak dikenali.
Justeru pelakon handalan ini tidak banyak bekerja dengan barisan pengarah tempatan termasuk mereka yang tersohor sebaliknya kerap dipanggil oleh sutradara yang sama berulang kali.
Kata Azizah, 55, apabila bekerja bawah pengarah baharu, dia cukup gentar dan bimbang sekiranya karakter yang dibawakannya tersasar daripada kemahuan sang sutradara.
“Saya tidak banyak berlakon dengan ramai pengarah. Rasanya kurang daripada 10 pengarah yang pernah bekerja dengan saya selama ini. Sebabnya saya takut apabila berkerja dan bertemu dengan orang yang saya tak kenal.
“Selalunya kalau kerja dengan pengarah baharu, saya akan tanya mereka berulang kali sama ada saya ini terlalu berlebihan menjiwai watak atau perlu dikurangkan sedikit agar tidak terlampau menonjol,” kata Azizah.
Terkenal dan kerap membawakan watak antagonis dalam kebanyakan drama dan filem, namun setiap karakter yang dibawa di hadapan kamera tidak pernah punya persamaan.
Salah satu cara yang dilakukan Azizah untuk tampil berbeza pada setiap karya walaupun masih kekal dalam karakter antonis ialah dia tidak pernah menonton semula lakonannya pada kaca televisyen (TV).
Justeru pada setiap watak yang diberikan kepada pelakon ini, dia berusaha untuk tidak mempamerkan lakonan yang sama.
“Jadi, kerja saya lebih sikit apabila dapat satu-satu watak kerana saya perlu buat kajian sendiri terhadap watak tersebut. Sebab itu saya memang tidak menonton drama-drama lakonan saya sendiri di TV.
“Saya tak mahu terpengaruh dengan gaya permainan yang serupa yang boleh membuatkan orang menganggap lakonan saya stereotaip.
“Pada kebanyakan masa, saya akan membaca dan menonton filem-filem dari negara-negara Eropah, India, Jepun dan Indonesia.
“Apabila saya suka dengan satu-satu filem itu saya akan menontonnya sehingga 30 kali dan boleh hafal semua dialog. Saya belajar daripada lakonan mereka, bagaimana mendekati satu-satu watak, menjiwainya sehingga menjadi begitu kuat.
“Saya ambil melodi daripada dialog-dialog dalam filem dan kaji bagaimana karakter saya harus berkembang serta graf turun dan naiknya. Saya juga kaji gaya dan teknik mereka untuk saya gunakan dalam drama-drama lakonan saya kelak,” kata Azizah.
Tambahnya, menerusi drama tular Jangan Benci Cintaku baru-baru ini, watak Nek Pah lakonannya diberi sedikit suntikan komedi agar seimbang dengan karakternya. Kaedah tersebut berjaya menawan hati para peminat drama tempatan sehingga wataknya itu turut menjadi kebencian penonton.
Berlakon guna graf, nombor
Sebagai bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Perakaunan, Azizah Mahzan tidak dapat lari daripada bermain dengan angka dan nombor, malah teknik tersebut diguna pakai dalam kaedah lakonannya.
“Saya orang yang bermain dengan kiraan dan graf. Malah sewaktu berlakon juga saya kira langkah dan pergerakan. Bila waktunya untuk saya perlu berpusing pada baris dialog yang tepat dan kena dengan kesinambungan drama. Itu cara saya,” katanya yang pernah popular menerusi drama Spa Q.
Malah dia cukup berterima kasih kepada tiga guru lakonannya ketika awal pembabitan dalam seni iaitu Wan Hanafi Su, Jalil Hamid dan arwah Mustafa Nor.
“Mereka adalah pembimbing yang sangat bagus. Saya banyak belajar ilmu lakonan daripada mereka terutama ketika masih belajar di universiti,” katanya.
Pernah menyandang gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2001 dan 2017, Azizah memberitahu, dia sebenarnya lebih menggemari dunia teater berbanding lakon layar.
“Cabaran dalam dunia teater berbeza dan lebih mudah kerana kita hanya perlu beraksi selama dua jam di pentas.
“Kemudian esoknya sambung lagi permainan yang sama tetapi pengalaman sebelumnya itu kita kemas kini dan segarkan semula pada persembahan seterusnya.
“Bagi saya ini lebih mencabar dan fokus berbanding berlakon di hadapan kamera yang boleh diulang beberapa kali apabila kita buat silap.
“Justeru, apabila ada dua tawaran serentak untuk tampil dalam drama atau teater, saya pasti akan memilih dunia teater kerana itu forte yang saya gemari,” katanya yang pernah terbabit dengan pementasan Kena Main dan Bangsawan Dendam Laksamana.
Enggan jadi pengarah
Dihormati dalam bidang lakonan sebagai pelakon senior yang versatil, tidak menjadikan Azizah Mahzan berasa besar diri dan sombong malah mengakui, dia sebenarnya tidak mahu berlama-lama dalam industri ini.
“Saya tidak berniat untuk kekal lama dalam industri lakonan. Saya juga tidak ada keinginan untuk mendapat anugerah atau mengejar impian setinggi bintang dalam dunia ini.
“Sebetulnya saya tidak punya cita-cita besar dalam bidang yang orang anggap saya hebat ini.
“Saya cuma buat yang perlu saya buat. Dapat skrip, saya kaji watak dan saya lakonkan dengan jiwa dan raga. Itu sahaja.
“Menjadi pengarah? Rasanya itu bukan untuk saya dan saya juga tidak pernah ada keinginan ke arah itu. Saya cuma seronok berlakon dengan pemain-pemain lain dan menjadi diri orang lain untuk watak yang saya bawa. Semuanya hanya untuk kepuasan diri.
“Saya sendiri tidak mahu menerima tawaran berlakon tanpa henti kerana saya perlu ruang masa dan rehat.
“Cuma apabila diberi peluang berlakon, saya buat sungguh-sungguh sebagai satu amanah dan tanggungjawab agar hasilnya dapat memuaskan hati semua orang,” kata Azizah.











