Atletico bergaya rentap ego Real - Utusan Malaysia

Atletico bergaya rentap ego Real

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TALLINN, Estonia – Presiden Atletico Madrid, Enrique Ce­rezo menegaskan sasaran utama pasukan itu musim ini ialah final Liga Juara-Juara selepas berjaya me­rangkul gelaran Piala Super Eropah awal pagi semalam.

Dua jaringan Diego Costa dan satu daripada Saul Niguez serta Koke membolehkan Los Rojiblancos, juara bertahan Liga Europa, menewaskan pemenang tiga edisi Liga Juara-Juara berturut-turut, Real Madrid 4-2 pada aksi di Arena A. Le Coq.

Ia merupakan gelaran Piala Super Eropah ketiga buat Atletico dan trofi ketujuh secara keseluruhan dimenangi Diego Simeone sebagai ketua jurulatih pa­sukan itu sejak dilantik pada 2011.

Sehubungan itu, Cerezo percaya Simeone mampu mengemudi Atletico mara ke final Liga Juara-Juara musim ini, apatah lagi perlawanan akhir pentas berprestij Eropah itu akan diadakan di laman sendiri, Stadium Wanda Metropolitano pada 1 Jun tahun depan.

“Kami sangat gembira kerana berjaya mencapai keputusan positif dan menjulang Piala Super Eropah. Ia memberikan kami keya­kinan untuk cuba mencapai objektif besar musim ini.

“Saya sedar sasaran musim ini sangat sukar ke­rana Atletico perlu memperbaiki pencapaian mereka tahun lalu. Selain itu, Atletico juga perlu bermain di pentas final Liga Juara-Juara di hadapan penyokong-penyokong sendiri,” katanya.

Kali terakhir Atletico bermain di pentas final Liga Juara-Juara pada dua tahun lalu sewaktu tewas 3-5 kepada Real menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 di Stadium San Siro, Milan, Itali. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×