SHAH ALAM 7 Ogos – Bintang realiti pertandingan nyanyian Big Stage 2018 (BS 2018), Ariff Bahran, 20, memohon maaf kepada para peminatnya atas kegagalan memberikan persembahan terbaik pada Ahad lalu.
Ariff atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari mengakui, dia dibelenggu perasaan gemuruh ketika membuat persembahan di pentas besar berkenaan hingga menyebabkannya hilang fokus.
“Ini adalah pengalaman pertama beraksi menerusi platform sebesar ini. Saya mohon maaf kepada semua ahli kelab peminat saya, Bahranators. Semoga saya dapat persembahkan sesuatu yang lebih baik pada minggu hadapan dan seterusnya,” katanya.
Konsert minggu pertama BS 2018 menyaksikan Ariff bersama-sama dua lagi peserta iaitu Tajul Ariff dan Baby Shima memperoleh markah paling rendah hasil penilaian barisan juri profesional untuk menghuni kelompok tiga terbawah.
Malah berdasarkan sokongan penonton dalam aplikasi Tiktok, Ariff juga gagal mendapat jumlah undian mencukupi bagi melayakkannya mara ke minggu kedua BS 2018, lantas disingkirkan.
“Tidak beberapa lama kemudian, hos mengumumkan tiada penyingkiran dibuat pada minggu pertama. Mujur Alhamdulillah,” katanya menghela nafas lega.
Pada malam konsert pertama Ahad lalu, tiga peserta yang menduduki kedudukan paling atas dalam carta adalah Sissy Imann, Andi Bernadee dan Sarah Suhairi.
Sementara lain-lain peserta seperti Wani Kayrie, Afieq Shazwan, Syafiq Farhain dan Fara Hezel berada dalam kelompok pertengahan.
Minggu kedua BS 2018 Ahad ini mengetengahkan tema Lit Throwback yang memberi tugasan kepada semua peserta membawakan lagu-lagu hits sekitar 80-an dan 90-an. – UTUSAN ONLINE











