KALAU diikutkan apa yang dimahukan, periuk yang diguna untuk memasak setiap hari di dapur itu mahu dibersihkan sehingga putih keseluruhannya.
Termasuk di sebelah bawahnya. Alasannya untuk memastikan keseluruhan periuk itu bersih, sebersih-bersihnya. Tetapi perlukah dilakukan demikian?
Tidak terfikirkah berapa hari saja periuk itu boleh bertahan jika digosok seluruhnya semata-mata kononnya untuk kebersihan ideal itu?
Itu sekilas perlambangan mudah tentang istilah antara ’mahu’ dan ‘perlu’ di dalam kehidupan. Sememangnya banyak hal dalam kehidupan harian, seseorang tidak ambil kisah tentang apa yang diperlukan atau sekadar dimahukan.
Misalnya, perlu apa menambah pembelian pakaian jika di dalam almari sudah penuh dengan pelbagai fesyen pakaian. Yang ada pun tak sempat untuk dipakai?
Mendengar radio, menonton televisyen, apakah sekadar mahu memperoleh hiburan, dengan mengetepikan perkembangan semasa, sumber ilmu atau maklumat mengenai kejayaan negara selama ini yang sepatutnya perlu diketahui dan dibanggakan oleh setiap warga Malaysia?
Namun, tidak pula bermakna hiburan itu langsung tidak perlu bagi kehidupan, tetapi biarlah ‘berpada-pada’.
Menatapi gajet di tangan tanpa lekang waktu, apakah sekadar mahu mencari sumber-sumber negatif berbaur fitnah atau reka cerita (story board) palsu?
Atau bahan-bahan yang langsung tiada nilai intelektual? Atau sebaliknya mencari bahan-bahan maklumat tepat dan ‘perlu’, yang boleh membantu memajukan kehidupan?
Mahu sering dikaitkan dengan keinginan yang terdorong oleh citarasa, emosi, sentimen atau nafsu manakala perlu selalunya beralaskan dorongan daya fikir, bersifat objektif, mementingkan keutamaan, kesesuaian, rasional dan penilaian secara jujur.
Berapa banyak negara misalnya yang mana rakyatnya membuat pilihan dalam pilihan raya kebangsaan atau memilih presiden secara terdorong dengan kemahuan bukan berasaskan keperluan sebenar, lalu berakhir dengan sengketa dan pergolakan yang tidak berkesudahan.
Malah, ada di antara negara yang dimaksudkan itu, tidak boleh diramalkan pulih seperti sedia kala walaupun terpaksa menunggu sekitar 40 atau 50 tahun lagi.
Barangkali ada agenda tersirat untuk tidak mendedahkan sejarah sebenar tanah air termasuk mengenai struktur asas serta sistem dan peradaban bangsa, maka ada pihak mahu memansuhkan institusi-institusi pembinaan siasah jati diri dan ketatanegaraan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN).
Malah, kandungan buku sejarah juga mahu dimasukkan kisah pengganas komunis turut berjuang memerdekakan negara?
Pada hal semua sumber dan institusi yang disebutkan itu perlu bagi menanam semangat patriotisme dan sayangkan negara, selain memberi kefahaman meluas kepada warga negara bersilih generasi tentang latar belakang sejarah tanah air. Masakan boleh menghayati slogan ‘Sayangi Malaysia Ku’ jika gagal mengenali asas latar belakang sejarah bangsa dan tanah air sendiri? Kata pepatah: “Tak kenal, maka tak cinta!”.
Di premis-premis pertemuan masyarakat, terdengar juga beberapa persoalan tentang mahu dan perlu ini. Misalnya, ada yang menanyakan: “Perlu sangatkah ditukar kasut putih kepada kasut hitam dalam kalangan murid sekolah? Tiada lagikah agenda lain yang perlu diutamakan?”
Ada juga yang bertanya: “Yang mahu sangat ditukarkan sistem percukaian cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tu…apakah benar-benar boleh menjamin penurunan harga barang?”
Kalangan ibu bapa pula bertanya: “Kenapa mahu dilayan sangat isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), seolah-olah mengalahkan agenda memajukan Islam, rakyat dan negara?”
Bagi kalangan yang suka melihat negara pada perspektif antarabangsa yang lebih jauh sedikit turut pula bertanya: “Kenapa pihak berkenaan mahu menamatkan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), sedangkan langkah itu dianggap perlu bagi usaha membendung gejala radikal dan ekstremis? Apakah langkah menamatkan operasi itu ada kaitan dengan isu kerjasama sesama negara Islam, antara Malaysia dengan Arab Saudi?”
Pada satu sudut lain, ada pula kecenderungan pihak-pihak tertentu yang mahu menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dengan tergamak menggunakan bahasa-bahasa lain untuk urusan-urusan rasmi.
Mereka seolah-olah tidak faham penggunaan bahasa kebangsaan itu perlu bagi menegakkan maruah dan kedaulatan negara selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pendek kata, banyak hal dan tindakan kelihatan dangkal dan pincang apabila pelaksanaannya semata-mata mengikut apa yang dimahukan bukan diperlukan.
Ada kalanya melibatkan kerugian kos, masa dan tenaga. Misalnya lagi: “Perlu apa seseorang pegawai itu mahu menduduki jawatan kanan atau lebih tinggi, sedangkan gagal memikul tanggungjawab dengan berkesan?
Perlukah dibatalkan projek-projek mega untuk kesejahteraan rakyat berbanding projek-projek untuk sekadar mahu menarik perhatian dunia luar terhadap negara? Berterus terang pada kejujuran lebih indah daripada memaksa diri meyakinkan pembohongan!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











