KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa mana-mana anggotanya yang mendedahkan identiti pemberi maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram boleh dipecat serta merta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, keselamatan pemberi maklumat tersebut sentiasa menjadi keutamaan pihak polis.
“Setiap anggota di bilik gerakan khas membanteras aktiviti judi haram perlu menyimpan rahsia.
“Jangan paksa pemberi maklumat itu memberikan maklumat peribadi mereka, kita ambil maklumat dan jalankan siasatan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar Program Kembara PDRM Peringkat IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas tentang program berkenaan, Mazlan memberitahu bahawa ia merupakan salah satu usaha polis untuk membanteras aktiviti judi haram di ibu negara.
“Sehingga masa kini, aktiviti judi haram dalam premis terbuka sudah tiada tetapi kita percaya mereka sudah bertukar ke operasi ke kawasan rumah persendirian.
“Apartmen, rumah teres dan banglo bertindak sebagai premis mereka dan di sinilah maklumat orang ramai amat penting bagi membolehkan polis menjalankan siasatan menanganinya,” ujarnya. – K! ONLINE











