LONDON – Bekas juara dunia Formula Satu (F1) dua kali, Fernando Alonso mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan untuk meninggalkan arena sukan pemotoran paling berprestij itu pada hujung musim ini.
Pelumba McLaren itu mendedahkan bahawa dia mahu membuka lembaran baharu dalam hidupnya setelah 17 tahun bergelumang dalam industri sukan pemotoran terbesar dunia tersebut.
Alonso yang kini berada di kedudukan kesembilan senarai kategori pemandu dengan 44 mata berjanji akan menamatkan karier dengan komitmen dan penuh semangat pada baki sembilan perlumbaan.
“Kini, sudah tiba masanya bagi saya untuk melakukan perubahan dalam karier. Saya sememangnya sangat gembira setiap detik berada dalam arena F1 dan berterima kasih kepada semua yang pernah bekerjasama dengan saya.
“Saya sangat berterima kasih dengan pasukan McLaren dan saya yakin mereka mampu kembali menyerlah satu hari nanti. Saya akan berlumba berhabis-habisan pada baki perlumbaan.
“Saya tak sabar untuk mencuba cabaran baharu yang bakal diterima. Saya sememangnya gembira bersama F1 tapi kini sudah tiba masa untuk keluar dari kepompong,” jelasnya.
Persaraannya dari arena F1 secara tidak langsung mencetus spekulasi bahawa pemandu Sepanyol itu akan menyertai perlumbaan Indy Car. – Agensi











