KUALA LUMPUR 13 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam dengan kenyataannya berhubung isu transgender selain mempertahankan tindakannya mendekati golongan itu.
Beliau memberitahu, pendekatan sedemikian dilihat lebih lunak, lembut, sesuai dan ramah, malah ia bukan satu perkara baharu dalam teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri menjalankan kerja dakwah secara mendekati pelbagai kumpulan sasaran terutamanya dalam isu transgender.
“Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam dengan kekeliruan yang berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai.
“Saya berpandangan, kita boleh dekati isu ini dengan dua cara sama ada dilakukan secara mendekati atau konfrontasi. Kedua-dua kaedah itu bagaimanapun mempunyai manfaat dan mudaratnya yang tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lalu, Mujahid mengadakan pertemuan dengan aktivis transgender, Nisha Ayub di pejabatnya di Putrajaya.
Selepas pertemuan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak mendiskriminasi golongan berkenaan dan memberikan peluang untuk mereka menyumbang dan pergi ke sekolah, klinik, rumah ibadat dan tempat-tempat awam.
Mujahid menambah, beliau ingin menegaskan sekali lagi bahawa pendiriannya selaku menteri, kekal untuk tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.
Katanya, pihaknya tidak sama sekali memberi pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut.
“Berdasarkan kesimpulan dan dapatan daripada kajian Jakim selama lapan tahun dan juga beberapa kajian ilmiah antaranya oleh Dr. Izwan Yusof, Teh Yik Koon dan Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim, saya menyimpulkan transgender sukar mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan serta adat dan budaya yang menjadi antara faktor mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks,” katanya.











