KUALA LUMPUR 27 Ogos – Penyanyi, Aishah tidak mempunyai sebarang masalah dan sedia berjumpa dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Vida untuk menyelesaikan kemelut berhubung pendedahannya baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 53 tahun itu, dia bukan sengaja mengadakan cerita melalui pendedahan di laman sosial Instagram selain mempunyai bukti serta dokumen untuk menyokong dakwaannya bahawa rantai hadiah daripada Dr. Vida adalah palsu.
“Kalau dia mahu jumpa, saya tiada masalah. Saya boleh bawa surat bukti itu sekali. Saya juga tahu dan bersedia sekiranya ada yang kecam serta kritik saya selepas ini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Utusan Online sebentar tadi.
Juara Gegar Vaganza musim keempat itu semalam mendedahkan bahawa hadiah rantai berlian bernilai RM80,000 yang dihadiahkan oleh Dr. Vida merupakan barangan kemas palsu.
Sebelum ini, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Janji Manismu itu juga mendedahkan dia masih belum menerima hadiah kemenangan sebidang tanah lot banglo tajaan Bina Megah Empire yang sepatutnya diterima selepas bergelar juara program terbitan Astro itu. -UTUSAN ONLINE











