KUALA LUMPUR – Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah tidak kisah jika loket yang dihadiahkan kepadanya oleh Datuk Seri Vida sempena kemenangan menerusi program Gegar Vaganza 4 (GV4) tahun lalu diganti dengan ganjaran lain.
Aishah, 52, bagaimanapun menolak cadangan gantian Vida atau nama sebenarnya Hasmida Othman yang mahu memberi Lavida Coin iaitu jenama mata wang kripto alam maya sebagai ganti.
Sebaliknya penyanyi lagu Janji Manismu itu berharap agar hadiah gantian tersebut mempunyai nilai yang setimpal dengan harga loket yang didakwa bernilai RM80,000 itu.
“Kalau boleh, gantikan dengan wang tunai atau emas 999 yang setimpal dengan nilai awal loket berkenaan.
“Saya bukan tidak mahu menerima bitcoin seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Vida, cuma saya tidak percaya dan kurang faham dengan sistem dagangan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.











