KUALA LUMPUR 29 Ogos – Penyanyi terkenal, Aishah meluahkan rasa hairan apabila Astro mengambil pendirian berkecuali berhubung isu hadiah rantai palsu yang diterimanya daripada jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Vida yang juga penaja utama program Gegar Vaganza (GV) musim keempat yang disertainya itu.
Bagaimanapun, penyanyi yang tersohor dengan lagu Janji Manismu itu berkata, dia menghormati keputusan Astro yang juga penganjur program GV.
“Apa saya boleh buat? Pelik juga sebab itu program mereka. Tapi benda salah, kita tak boleh kata betul. Saya berterima kasih kepada Astro kerana beri saya peluang untuk kembali beraksi di pentas seni. Namun mereka perlu ada garis panduan khususnya melibatkan hadiah daripada penaja.
“Malah, saya harap juga agensi kerajaan terlibat melihat isu ini bukan untuk saya sahaja tetapi untuk semua penyanyi dan kepentingan industri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hari ini, Astro memberikan reaksi mengenai kontroversi yang tercetus antara dua selebriti itu berhubung dakwaan Aishah bahawa dia menerima barangan kemas palsu daripada Dr. Vida.
Astro menegaskan, stesen berkenaan mengambil pendirian berkecuali kerana kemelut itu hanya melibatkan Aishah dan Dr. Vida
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, penajaan hadiah barangan kemas bernilai RM80,000 yang menjadi bahan perdebatan itu dihadiahkan oleh Dr. Vida kepada Aishah yang juga juara GV4 sebagai ganjaran tambahan atau bonus.
“Bagi menjawab pertanyaan media, kami di Astro berpendirian, kontroversi tajaan ini sebetulnya hanya melibatkan dua pihak iaitu Dr. Vida dan Aishah. Untuk pengetahuan semua, Dr. Vida telah berbesar hati untuk memberikan barangan kemas tersebut sebagai hadiah tambahan atau bonus kepada para pemenang.
“Ia ditaja sepenuhnya atas ihsan Dr. Vida dan tidak termaktub dalam perjanjian asal yang ditandatangani oleh pihak DSV dan Astro,” kata Emarina dalam kenyataan yang diedarkan kepada media
Dalam pada itu, Aishah juga berharap agar stesen penyiaran itu tidak mengambil tindakan menyenarai hitam namanya daripada terlibat dalam mana-mana program anjuran mereka.
“Itu adalah antara perkara yang saya fikirkan setiap hari. Takut juga kalau kena senarai hitam. Tapi saya rasa tidak ada sebab untuk saya disenarai hitam.
“Saya tak ada masalah dengan Astro. Saya cuma perjuangkan hak supaya tidak lagi dibuli oleh mana-mana pihak. Tapi apa pun, saya percaya kepada rezeki,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











