GUA MUSANG – Operasi merobohkan halangan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik di sini semalam berlaku dalam suasana penuh emosi apabila sebahagian penduduk Orang Asli yang tidak berganjak menitiskan air mata melihat tindakan pihak berkuasa meranapkan sekatan yang dibina bagi mempertahankan tanah adat yang didakwa milik mereka.
Operasi bersepadu dengan kekuatan kira-kira 400 pegawai dan anggota terdiri daripada petugas Jabatan Perhutanan, polis, Pejabat Tanah dan Galian, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa agensi lain itu bermula pada pukul 10 pagi secara serentak di Kampung Depak, Pos Tohoi; Cawas, Pos Bihai dan Kuala Wook, Pos Pasik.
Di setiap pos itu pula terdapat kira-kira 100 Orang Asli termasuk Orang Asli wanita dan kanak-kanak menyaksikan tindakan pihak berkuasa merobohkan sekatan mereka.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Depak mendapati kira-kira 100 penduduk Orang Asli diketuai Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simpor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah sudah bersedia dari awal pagi menunggu kehadiran pihak berkuasa melakukan kerja-kerja merobohkan sekatan.











