KUALA LUMPUR 27 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyataan kegembiraan apabila salah satu daripada fitnah yang dilemparkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 diperbetulkan.
Ini berikutan pendedahan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman bahawa jumlah kes kaum India tanpa kewarganegaraan di Malaysia ialah 3,853 dan bukan 300,000 seperti didakwa oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini.
Jelas Najib, walaupun beliau dan pemimpin-pemimpin MIC telah memberi penjelasan angka sebenar namun tuduh sebagai menipu terus dilemparkan beberapa pemimpin PH kaum India.
Najib mendakwa, pemimpin berkenaan menggunakan isu tersebut sebagai isu utama untuk membuat demonstrasi dan dalam ceramah untuk menaikkan kemarahan kaum India terhadap kerajaan BN.
“Kini ramai dari pemimpin-pemimpin PH yang memainkan isu ini telah dilantik menjadi menteri dalam kerajaan baru.
“Dengan pendedahan kerajaan PH sendiri tentang jumlah kes yang benar adakah pemimpin-pemimpin PH ini akan meminta maaf kerana telah tersalah kira dua tempat titik perpuluhan?,” kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Najib, 1,638 daripada 3,853 kes tersebut telah diselesaikan di bawah kerajaan BN pimpinan beliau dahulu.
Azis dalam jawapan di Dewan Negara hari ini berkata, dakwaan 300,000 kaum India di negara ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri adalah tidak benar.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk T. Mohan yang mempersoal kesahihan angka 300,000 kaum India tiada dokumen pengenalan diri yang dibangkitkan sebelum ini sehingga menyebabkan MIC kehilangan kepercayaan pengundi.-UTUSAN ONLINE











