KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2018-2020.
Meskipun menyambut baik pelantikan tersebut terutama Pengerusinya, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Wan Nordin, Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hasan mendakwa ada dalam kalangan ahli MPPK datang daripada latar belakang yang anti bahasa Melayu selain cenderung kepada budaya dan bahasa asing.
Beliau juga mendakwa, ahli-ahli tersebut yang giat meneruskan roh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) melalui pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).
“Kami berharap kementerian mempertimbang semula pelantikan ahli MPPK dengan mengambil kira tokoh yang dilantik memahami hasrat kementerian, dasar pendidikan kebangsaaan dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Khamis minggu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelantikan tujuh tokoh akademik menganggotai MPPK bagisesi 2018-2020 yang berkuatkuasa 1 Ogos lalu.
Selain Wan Mohd. Zahid sebagai Pengerusi, MPPK terdiri daripada Tan Sri Yong Poh Ko sebagai Timbalan Pengerusi serta lima ahli majlis iaitu Datin Noor Azimah Abdul Rahim, Datuk Satinah Syed Saleh, Datuk Dr. Sukiman Sarmani, Brigadier Jeneral Datuk Yusri Anwar dan Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin.
Menurut Mohd. Azizee, iGuru menyokong usaha memperkasa dan memperkukuh pendidikan negara, bukannya mengulangi kesilapan serta merosakkan aspirasi pendidikan negara
Beliau percaya negara tidak ketandusan tokoh yang banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan telah mengangkat martabat pendidikan. – UTUSAN ONLINE











