PUTRAJAYA 29 Ogos – Raptai penuh acara perbarisan dan persembahan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya di sini hari ini berjalan lancar.
Acara raptai tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi dimulakan dengan acara kawad hormat diikuti dengan acara perbarisan, pancaragam serta pertunjukan aset udara dan darat oleh Angkatan Tentera Malaysia serta persembahan tarian oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama kanak-kanak Permata Seni.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor berkata, pihaknya berpuas hati dengan kelancaran acara raptai tersebut dan berharap cuaca baik pada hari sambutan tersebut, Jumaat ini.
“Hari ini semua acara berjalan lancar ditambah pula dengan cuaca yang sangat baik sejak awal pagi tadi. Kita berharap cuaca elok akan berterusan hingga hari Jumaat ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, kira-kira 15,000 peserta yang terdiri daripada kontinjen penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan (NGO) dan swasta terlibat dalam acara sambutan tersebut. – UTUSAN ONLINE











