KLANG 21 Ogos – Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mengaitkan Perdana Menteri dalam pemilihan PKR dan mendakwa ada cubaan menghalang peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setelah saya diberikan nasihat dan arahan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka saya memahami tentang pelaksanaan peralihan kuasa yang saya bangkitkan kebelakangan ini sehingga mengheret nama baik Perdana Menteri.
“Dengan ini, saya ingin memohon maaf atas ketelanjuran bicara dan semoga kebimbangan saya tentang usaha dan cubaan menggagalkan peralihan kuasa tersebut yang dimainkan peranannya oleh Tun adalah perkara tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Abdullah Sani yang merupakan sebahagian daripada kem Mohd. Rafizi Ramli dalam menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden sebelum ini mengaitkan nama Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin dalam menggagalkan usaha peralihan kuasa kepada Anwar.
Kem tersebut dipercayai mendapat restu Anwar walaupun Presiden PKR tersebut berulang kali mendakwa beliau tidak menyokong mana-mana pihak. – UTUSAN ONLINE











