KUALA LUMPUR 28 Ogos – Sembilan tonggak skuad bawah 23 (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang baru menamatkan kempen Sukan Asia 2018 berada dalam senarai 24 pemain yang dipilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 3 September ini bagi persediaan menghadapi kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Kesemua pemain yang dipanggil adalah Akhyar Rasyid (Kedah), Adam Nor Azlin, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim), Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur), Nik Akif Syahiran (Kelantan) dan Syahmi Safari (Selangor) serta pemain kuota lebih umur, Rizal Ghazali dari Kedah.
“Mereka dipanggil bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A bertemu Taiwan di Taipei City pada 7 September dan Kemboja di Phnom Penh pada 10 September,” menurut Persatuan Bola Sepak (FAM) dalam satu kenyataan hari ini.
Daripada 24 pemain itu juga, jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengekalkan 16 pemain dari skuad yang dipanggil ketika aksi persahabatan antarabangsa bertemu Fiji di Cheras pada 5 Julai lalu.
Tiga lagi aksi persahabatan sebelum bermula Piala AFF 2018 (8 November hingga 15 Disember, 2018) adalah bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, diikuti menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar. – BERNAMA











