SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan (KPDNHEP) menyerbu sebuah stor disyaki menjual kasut tiruan secara borong dan merampas 847 kasut pelbagai jenama bernilai RM29,010 di Bandar Baru Nilai, Nilai dekat sini, malam tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, operasi selama tiga jam yang berakhir pukul 11.45 malam itu disertai 11 pegawai penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagang selepas pihaknya melakukan risikan selama tiga minggu.
Menurutnya, premis yang menjual kasut pelbagai jenama tiruan itu dipercayai dijadikan stor sementara bagi tujuan pengedaran ke premis-premis runcit di Seremban dan Nilai.
“Sebanyak 847 kasut pelbagai jenama yang menggunakan perihal dagangan palsu dirampas dalam operasi ini. Nilai anggaran rampasan adalah RM29,010. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(C) Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pemiliknya, seorang lelaki dalam lingkungan usia 40 tahun didapati mempunyai kes lampau atas kesalahan sama. Kita juga telah merakam percakapannya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zubir berkata, pihaknya percaya operasi kali ini dapat menyekat pembekalan kasut tiruan kepada premis-premis runcit di sekitar Nilai dan Seremban.
Tambahnya, pengguna boleh menyalurkan aduan berkaitan jualan barang tiruan kepada KPDNHEP melalui e-mel iaitu [email protected] atau hubungi talian 06-6016500 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP terdekat untuk membuat laporan. – K! ONLINE











