KUALA LUMPUR – Seramai 60 orang termasuk pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar ibu negara menyertai program Kembara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kembara berkenaan yang akan singgah di beberapa titik perhentian di sepanjang perjalanan itu turut disertai dan diketuai oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Menurut Mazlan, program kembara tersebut merupakan aktiviti yang dilakukan bagi meningkatkan kerjasama PDRM dengan masyarakat.
“Program sebegini turut memberi peluang kepada kami (polis) untuk mengetahui masalah-masalah yang berkaitan dengan jenayah dan isu keselamatan masyarakat setempat.
“Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, kembara ini turut bermatlamat untuk menyemarakkan semangat kibarkan Jalur Gemilang dalam kalangan semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada program itu di IPK Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut menyertai kembara berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob.
Mazlan berkata, tujuh lokasi membabitkan kawasan IPK Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi untuk menjalankan ‘High Profile Policing’.
“Kita akan berlepas dari IPK Kuala Lumpur menuju ke tujuh lokasi iaitu di Dataran Putra, Putrajaya, Pusat Aktivit Warga Emas (PAWE) Cheras serta Restoran Pelita Ampang.
“Dari sana kita akan ke Masjid Al- Firdaus Segambut Luar, Pasar Borong Selayang, KL Sentral dan konvoi ini akan berakhir di pusat beli-belah, Mytown,” katanya.
Kembara tersebut dijangka tiba di Mytown kira-kira pukul 4 petang nanti. – K! ONLINE











