KUALA LUMPUR 16Ogos – Seramai 48 pelajar universiti awam dan swasta mengambil bahagian dalam pertandingan Malaysia Speaking Minds 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM kampus Kuala Pilah dan Kelab Bahasa Inggeris, Eagles Club itu dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar universiti berkenaan, Mohd. Zulhilmi Mohd. Yunus.
Penasihat MPP, Dr. Sheikh Ahmad Izaddin Sheikh Mohd. Ghazali berkata, pertandingan peringkat kebangsaan yang dibawa buat kali pertama ke kampus itu bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang sains sosial dan teknologi.
“Selain itu, acara ini juga bermatlamat mencabar tahap pemikiran pelajar selain memperkasakan kualiti dan kemahiran mereka membuat pembentangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada program yang disertai oleh pelajar dari UiTM, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MICET), Quest International University dan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) itu, Nurul Aqilla Mazlan dari UiTM kampus Shah Alam muncul sebagai juara pertandingan menerusi pembentangannya bertajuk ‘The Future Technology: Supercapattery’.
Naib johan pula diraih Puteri Nurdiana Asyiqin Ruslan dari UniKL MICET menerusi pembentangan bertajuk ‘OPF Cement Board’ manakala tempat ketiga dimenangi Siti Nursyazana Sazali dari UiTM kampus Kuala Pilah melalui pembentangannya ‘How To Eat Healthy: Colocasia Esculenta?’.
Pertandingan membariskan enam juri dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Politeknik Muadzam Shah, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Malaysian Nuclear Agency dan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC). – UTUSAN ONLINE











