40 ADUN P.Pinang angkat sumpah - Utusan Malaysia

40 ADUN P.Pinang angkat sumpah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 2 Ogos – Kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan sebelum bermulanya penggal baharu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama untuk kali ke-14, di sini, hari ini.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota mendahului upacara tersebut sebelum disusuli dua timbalannya iaitu Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Pinang Tunggal) dan Dr. P. Ramasamy (Perai).

Turut mengangkat sumpah pada majlis itu ialah dua orang menteri Kabinet iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (Air Putih) serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ( Pantai Jerejak).

Upacara tersebut turut dihadiri oleh tiga ADUN pembangkang iaitu dua ADUN Barisan Nasional (BN), Muhamad Yusoff Mohd. Noor (Sungai Dua) dan Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan) serta seorang wakil Pas dari DUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.

Kesemua upacara tersebut dijalankan di hadapan Speaker yang dilantik semula, Datuk Law Choo Kiang.

Pada majlis yang sama, Muhamad Yusoff turut dilantik sebagai Ketua Pembangkang manakala ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, Bersatu dan Amanah secara keseluruhannya memenangi 37 kerusi diikuti oleh BN dan Pas masing-masing dengan dua dan satu kerusi DUN.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN