KUALA LUMPUR 13 Ogos – Empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat berjumlah RM93,685 kepada sebuah pusat kajian milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Indah, Selangor.
Mereka ditahan adalah pegawai bekas pegawai TLDM yang memegang jawatan sebagai Bentara dan Leftenan Komander.
Selain mereka, turut ditahan seorang pemilik dan juga pengurus syarikat terlibat dalam penjual dakwat terbabit.
Menurut sumber, meskipun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit telah dikeluarkan syarikat tersebut namun peralatan yang disenaraikan itu tidak dibekalkan mereka.
Ujarnya, antara peralatan dakwat yang disenaraikan iaitu Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A bernilai RM57,400.00.
“Sehubungan itu, dua pegawai TLDM dan pemilik syarikat tersebut akan dipohon reman di Mahkamah Shah Alam esok pagi manakala pengurus syarikat terlibat dilepaskan dengan notis serta jamin untuk hadir di SPRM Klang bagi merakamkan percakapan.
“Kesemua suspek berusia 37 sehingga 50 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE










