KEMAMAN 13 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat buah bot nelayan Vietnam bersama 38 awak-awak berusia antara 16 hingga 63 tahun termasuk tekong kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Terengganu dan Pahang Sabtu lalu.
Penahanan itu membabitkan barang rampasan termasuk 500 kilogram ikan, 28,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan termasuk bot dianggarkan RM4.5 juta.
Kesemua empat bot penceroboh itu ditahan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) antara pukul 7.50 pagi hingga 10.10 pagi kelmarin pada kedudukan antara 118 hingga 102 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pada mulanya sebuah kapal Maritim Malaysia yang membuat rondaan dalam Ops Makmur dan Ops Perkasa Timur di perairan Pahang dan Terengganu berjaya mengesan empat bot nelayan asing itu sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.
Menurutnya, bot pertama ditahan pukul 7.50 pagi pada jarak 102 batu nautika dari Kuala Kemaman diikuti bot kedua pukul 8 pagi (102 batu nautika dari Kuala Kemaman), bot ketiga pukul 9.30 pagi (118 batu nautika dari Kuala Kemaman) dan bot terakhir pukul 10.10 pagi (119 batu nautika dari Kuala Kemaman).
“Setelah diperiksa, kesemua nelayan asing dipercayai warga Vietnam itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.
“Selain itu mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan kesemua awak-awak termasuk tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya, di sini hari ini.
Muhammad Suffi juga menarik perhatian, sebelum ditahan, tekong bot didapati cuba memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai pemerintah supaya melepaskan kesemua bot daripada dikenakan tindakan. – UTUSAN ONLINE











