MELAKA 21 Ogos – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal melaksanakan pemasangan meter pintar di 310,000 premis kediaman domestik seluruh negeri ini menjelang 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Retail, Bahagian Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, sehingga kini lebih 26,000 unit meter pintar telah dipasang di rumah kediaman seluruh Melaka sejak Januari lalu.
Katanya, antara lokasi yang telah menerima pemasangan meter pintar termasuklah sekitar Merlimau, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Alor Gajah dan kesemua pengguna terlibat diberi notis pemakluman minimum 48 jam sebelum dipasang.
“Inisiatif pemasangan meter pintar yang disambut baik kerajaan negeri ini adalah seiring dengan penghasilan ‘blue print’ Melaka sebagai Bandar Raya Hijau dan Pelan Tindakan Bandar Raya Hijau.
“Melaka dipilih sebagai negeri perintis atau yang pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara bagi projek ini yang mula dipasang di sekitar MITC pada Oktober 2014 diikuti Putrajaya pada Januari 2016,” katanya ketika berucap pada program TNB Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Taman Saujana Seksyen 3, Bukit Katil, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari dan turut dihadiri Pengurus Besar (Khidmat Pelanggan dan Pembangunan Perniagaan) Bahagian Retail TNB, Datuk Mohd. Azim Yusoff.
Jelas Megat Jalaluddin, pengguna tidak perlu bimbang inisiatif tersebut kerana ia tidak menjejaskan penggunaan elektrik di kediaman malah membantu meningkatkan kualiti gaya hidup pelanggan dengan memberi nilai tambah kepada mereka.
“Melalui penggunaan meter pintar, ia mendorong pelanggan mengurus dan menggunakan tenaga dengan lebih efisien dan pada masa yang sama meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
“Selain itu, pengguna memperoleh manfaat seperti kemudahan proses bil yang lebih mudah, menerima bil elektrik yang tepat, mengikut masa yang ditetapkan di samping dapat memantau penggunaan tenaga elektrik di premis masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, Adly menyambut baik usaha dilakukan TNB ke arah meningkatkan tenaga lestari dan amalan kecekapan tenaga.











