GUA MUSANG 23 Ogos – Kegembiraan empat beranak yang pulang ke kampung pada saat akhir untuk menyambut Aidiladha bertukar duka selepas tiga daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera dalam nahas di Kilometer 32, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini pagi ini.
Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Maslan Hassan, 55, yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian bersama seorang anak perempuannya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, yang duduk di bahagian penumpang hadapan.
Mangsa ketiga, Muhammad Faiziel, 27, yang memandu kenderaan terbabit meninggal dunia petang ini ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai.
Maslan dan Nur Fashiera dikatakan maut akibat tercampak keluar selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki mereka berempat terbabas ke cerun jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di situ.
Sementara itu, seorang lagi anak perempuan Maslan, Nur Farrah Ezlyn, 22, yang berada di tempat duduk belakang, patah tangan kiri.
Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Rekang Hilir Jelawat, Bachok.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit dari arah Gua Musang ke Kuala Krai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian lalu terbabas ke cerun jalan sebelah kanan dan melanggar tiang elektrik.
Menurutnya, akibat rempuhan kuat tersebut, dua mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang cedera iaitu pemandu kenderaan dan adik perempuannya dirawat di Hospital Gua Musang. Mayat dua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur Farrah Ezlyn berkata, mereka bertolak pulang ke kampung halaman agak lewat iaitu pada pukul 9 malam semalam kerana perlu menunggu Allahyarham Nur Fashiera yang baharu selesai bekerja di butik.
“Saya tidak sedar bagaimana kejadian itu berlaku kerana tidur di tempat duduk belakang dan bila sedar, saya sudah berada dalam ambulans,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.











