LANGKAWI – Seramai 203 mangsa daripada 43 keluarga yang terjejas ekoran kejadian ribut dan banjir kilat awal pagi semalam masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kuala Teriang di sini.
Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob hari ini berkata, mangsa tersebut dipindahkan sejak pukul 11.14 pagi semalam berikutan kediaman mereka yang terjejas akibat rIbut dan banjir kilat.
“Hujan lebat beserta angin kencang melanda kawasan kejadian telah menyebabkan 46 rumah dan sebuah surau mengalami kerosakan bumbung dan siling,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, APM telah menggerakkan 42 anggotanya ke kawasan kejadian serta di pusat pemindahan untuk membantu mangsa terlibat.
Sementara itu, pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta serta individu perseorangan tampil untuk menyumbang pelbagai bantuan kepada mangsa. – Bernama











