18 pekerja warga asing berjaya diselamatkan  - Utusan Malaysia

18 pekerja warga asing berjaya diselamatkan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Polis berjaya menyelamatkan seramai 18 orang pekerja asing termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang membungkus sayur-sayuran Mukim Sungai Raja, Kampung Kepayang di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serbuan itu dijalan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri selepas mengadakan risikan selama dua bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, dalam serbuan pada pukul 9.15 pagi itu, mereka yang diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, lima lelaki Myanmar dan seorang wanita Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Jelasnya, polis turut menahan tiga wanita berusia 20 hingga 40 tahun yang dipercayai pemilik kilang dan menguruskan kesemua mangsa.

“Siasatan awal daripada salah seorang mangsa menyatakan majikan mereka telah tiga bulan tidak membayar gaji dengan alasan gaji akan diberikan sekiranya mangsa ingin bekerja di tempat lain atau pulang ke kampung halaman.

“Mangsa juga mendakwa dipaksa bekerja setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan bayaran RM32 sehari tanpa diberikan cuti rehat dan sekiranya mangsa mahu cuti, majikan akan memotong gaji bagi tiga hari bekerja iaitu sebanyak RM96,” katanya.

Yahya berkata, pemeriksaan lanjut  mendapati pemilik kilang telah gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit kerja bagi kesemua mangsa yang bekerja di kilang tersebut.

Selain itu jelasnya, polis turut merampas selaras senjata yang menyerupai senjata api mengandungi bebola kecil berwarna putih dalam kelopak senjata dipercayai peluru senjata berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan membenarkan warganegara asing bekerja tanpa permit kerja yang sah dan Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini